Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook melakukan pemeriksaan mengejut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia) 2 sebelum majlis pelancaran ‘Fixed Fare Midnight Flight’ anjuran AirAsia, pagi tadi.
Anthony menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan pemeriksaan itu dibuat bagi melihat keadaan di hab pengangkutan awam di tingkat 1, klia2 selepas mendapat maklum balas daripada orang ramai.
“Pagi tadi, sebelum saya melancarkan ‘fixed fare midnight flights’ di Red Q, AirAsia, saya telah membuat spot-check di klia2.
“Tujuan saya pagi ini melihat keadaan di hab pengangkutan awam di Level 1, klia2 selepas mendapat maklum balas daripada orang ramai,” katanya.
Menurut beliau, terdapat beberapa kelemahan terutama di ruang menunggu e-hailing yang perlu diperbaiki.
“Salah satu ialah lorong jalan yang tidak rata akibat mendapan tanah yang boleh membahayakan pengguna dan sistem pencahayaan juga akan ditambah baik supaya keadaan pada waktu malam lebih terang,” ujarnya.
Anthony berkata, susulan itu, pihak pengurusan telah melantik kontraktor dan kerja menaik taraf akan dijalankan pada hujung bulan Januari.
Anthony berkata, susulan itu, pihak pengurusan telah melantik kontraktor dan kerja menaik taraf akan dijalankan pada hujung bulan Januari.
Sumber: AA
BERITA YANG BOLEH DIBACA..
Pembukaan Semula Sempadan China: Trafik Udara Dijangka Meningkat 2023
Malaysia dijangka menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan susulan pembukaan semula sempadan China, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Menurutnya, beliau percaya pergerakan trafik udara antara kedua-dua negara itu akan meningkat tahun depan kerana akan ada penerbangan yang masuk dan keluar dari China.
“Ketika ini ramai orang yang mula mengembara semula, jadi sudah tentunya akan menambah kepada destinasi di China. Dari segi trafik udara, akan ada peningkatan dan saya yakin kita akan kembali semula kepada paras seperti sebelum COVID,” katanya kepada pemberita selepas pengumuman penerbangan tambahan AirAsia pada tambang rendah tetap sempena perayaan Tahun Baru China yang akan datang.
Bagaimanapun, Loke tidak mendedahkan sebarang peningkatan khusus dalam peratusan.
China dilaporkan akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan, 2023, selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik COVID-19.
Mengenai penetapan harga tiket penerbangan, beliau berkata kerajaan tidak merancang untuk menetapkan sebarang harga bagi syarikat penerbangan kerana mereka beroperasi berasaskan kepada harga dinamik.
“Jika kita letakkan harga siling, akan ada implikasi negatif kepada penumpang. Sebagai contoh, mereka akan mengurangkan kapasiti. Tidak ada syarikat penerbangan yang mahu beroperasi sekiranya ia merugikan,” katanya.
Loke juga maklum bahawa tambang udara dinaikkan semasa musim perayaan, justeru, beliau menyarankan syarikat penerbangan agar menambah lebih banyak kekerapan penerbangan supaya harga menjadi lebih berpatutan.
“Kita menggalakkan semua syarikat penerbangan meningkatkan kekerapan penerbangan mereka tetapi ia juga bergantung kepada kapasiti mereka. Saya berharap semua syarikat penerbangan dapat membantu kerajaan dari segi meningkatkan kekerapan dan pengendali lapangan terbang akan membantu memudahkannya.
“Jadi mana-mana syarikat penerbangan yang bersedia untuk menyediakan tambang tetap seperti itu, kerajaan berbesar hati untuk membantu dan menyokong,” katanya.
Sementara itu, mengenai kelewatan penerbangan akibat cuaca buruk yang tidak dapat dielakkan, Loke menasihatkan syarikat penerbangan agar menyalurkan maklumat dengan efisien kepada penumpang bagi menangani situasi tersebut.
Sumber: AA