Covid-19 Punca Lima Beradik Yatim Piatu Sekelip Mata | Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga itulah yang dilalui oleh lima beradik ini apabila ayah mereka meninggal dunia akibat daripada Covid-19 yang kemudiannya diikuti sang ibu tidak lama setelah itu. Hal ini sekaligus menjadikan mereka anak yatim piatu dalam hanya sekelip mata.

Covid-19 Punca Lima Beradik Yatim Piatu Sekelip Mata

Port Dickson: Pesanan ibu supaya menjaga adik-adik dengan baik sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat positif Covid-19 masih terngiang-ngiang dalam ingatan, Muhammad Haidir Rodzi, 23.

Muhammad Haidir tidak menyangka bahawa pesanan yang diberikan melaui panggilan video itu merupakan amanat terakhir arwah ibu kepadanya sebagai anak sulung untuk mengambil alih tanggungjawab menjaga adik-beradik sebelum kedua ibu bapanya meninggal kerana Covid-19.

Ini merupakan satu ujian yang berat buat mereka lima beradik apabila ayah mereka Rodzi Tahar, 55, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tampin manakala ibunya Nazita Idris, 45, meninggal dunia enam hari kemudian di Hospital Tunku Ja’afar (HTJ).

Katanya, mereka berasa sedih namun reda dengan ketentuan Allah atas pemergian ibu bapa tersayang.

Baginya perkara paling menyedihkan apabila kami sekeluarga tidak dapat mencium jenazah arwah ibu dan bapa buat kali terakhir, namun doa dan ingatan sentiasa ada buat mereka.

Muhammad Haidir bersama-sama empat adiknya iaitu Muhammad Hairie Rodzi, 20, Nurhairieka Rodzi, 18, Muhammad Haiqiel Rodzi, 13 dan Muhammad Khierzamani Rodzi berusia tujuh tahun kini menetap di rumah peninggalan arwah bapa mereka di Bandar Sunggala, Port Dickson.

Mengulas lanjut, Muhammad Haidir berkata ayahnya mula mengalami demam biasa pada 26 Mei lepas dan mengambil keputusan untuk menjalani ujian saringan di Hospital Port Dickson pada 29 Mei sebelum disahkan positif keesokan harinya dan dihantar ke Hospital Tampin.

Namun, keluarga mereka menerima perkhabaran duka apabila doktor memaklumkan bapanya telah meninggal dunia pada jam 4.30 pagi.

“Perkara paling menyedihkan apabila arwah bapa tidak sempat meninggalkan pesanan buat kami selepas dimasukkan ke hospital. Bapa saya mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit buah pinggang, manakala ibu mempunyai penyakit darah tinggi. Jadi mereka golongan berisiko.

“Kami tidak tahu punca jangkitan dapat dari mana dan tidak tahu kontak rapat dari siapa?” katanya.

Tambahnya, arwah ibunya melakukan ujian calitan pada 30 Mei selepas mengalami simptom seperti demam dan batuk serta disahkan positif Covid-19, pada keesokan harinya.

Mereka adik-beradik juga telah didapati positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah, bagaimanapun tiada diantara mereka yang mengalami simpton yang teruk dan kini telah sembuh daripada jangkitan itu.

Menjadikan kisah keluarganya sebagai contoh, Muhammad Haidir mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi arahan ditetapkan kerajaan dan tidak memandang remeh terhadap penularan wabak Covid-19 yang boleh meragut nyawa insan tersayang.

Sumber: Metro

Share.

Leave A Reply