Ketika usaha membasmi aktiviti judi dalam talian giat dilaksana di pelbagai peringkat, masih ada saki-baki pihak tidak bertanggungjawab yang menghidupkan kegiatan haram itu di bandar raya ini.

Beroperasi secara sembunyi, pihak itu dikatakan berselindung di sebalik perniagaan lain seperti kedai telekomunikasi, tambah nilai dan runcit malah penduduk mendakwa terdapat juga yang beroperasi di ‘belakang’ kedai kopi.

Kemunculan kegiatan itu nyata tidak disenangi penduduk bandar raya ini kerana ada yang beroperasi berhampiran kawasan perumahan dan tempat tumpuan yang dibimbangi menjadi tarikan kepada golongan muda.

Penduduk enggan anak muda terpengaruh untuk berjudi dalam talian meskipun awalnya didasari atas rasa ingin tahu dan sekadar suka-suka.

Meninjau laman Facebook Polis Johor, terdapat penduduk yang berkongsi maklumat mengenai premis yang dipercayai menjalankan operasi haram itu di ruangan komen.

Penduduk dikenali Aisyah, 40, berkata, perkongsian begitu kerana peka selain mereka mahu mencegah implikasi sosial seperti jenayah dan pergaduhan.

“Bayangkan sebuah kedai runcit, tetapi barang yang dijual tidak banyak pun namun boleh nampak ramai orang keluar masuk kedai itu mengalahkan operasi kedai runcit sebenar.

“Memanglah mencurigakan, apatah lagi saya pernah melihat ada orang yang masuk melalui pintu belakang kedai sedangkan pintu hadapan terbuka,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, dia sedar aktiviti perjudian dalam talian boleh dilakukan sesiapa sahaja dan di mana-mana namun beroperasi di sebalik premis perniagaan amatlah menggusarkan.

“Saya bimbang kerana saya lihat ada semua peringkat umur termasuk pelajar yang boleh terjebak dengan kegiatan tidak bermoral ini.

“Diharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan drastik bagi membanteras aktiviti perjudian dalam talian di premis perniagaan ini dengan segera,” katanya yang tinggal di Taman Suria di sini.

Sementara itu, Daniel, 20-an, yang tinggal di Kempas mendakwa banyak kedai telekomunikasi menjual tambah nilai talian telefon yang turut menyediakan servis tambah nilai judi dalam talian.

“Mereka seolah-olah tidak ada rasa takut dan menganggap aktiviti mereka jalankan adalah sah di sisi undang-undang,” katanya.

Pemuda itu melihat kegiatan berkenaan sebagai tidak sihat dan mengundang masalah kepada masyarakat terutama belia sepertinya yang berpotensi terpengaruh untuk berjudi.

Katanya, tidak dinafikan tabiat berjudi menyebabkan orang hilang pertimbangan termasuk sanggup mencuri untuk dapatkan wang mudah selain bergaduh.

Dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan yang bersifat jangka panjang untuk membasmi kegiatan yang boleh merosakkan masyarakat.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply