Demi Selamatkan Nyawa Anak Tiri, Bapa Korban Derma Buah Pinggang | Pengorbanan tidak terhingga seorang bapa tiri yang sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri demi menyelamatkan anak tiri yang tiada pertalian darah dengannya. Namun naluri seorang bapa membuatkan dia tekad demi memastikan anaknya dapat meneruskan kehidupan dalam keadaan yang sihat walau nyawanya menjadi taruhan. Itulah apa yang dilakukan oleh Mohd Nor Azmi Husain, 59.
Seorang ahli perniagaan, Mohd Nor Azmi Husain, telah berkorban dengan mendermakan buah pinggang kirinya kepada anak tirinya yang telah mengalami kegagalan fungsi buah pinggang sejak 12 tahun lalu. Kerana tidak mahu melihat anak tirinya Marliana Mustaffa, 40 terus menanggung penderitaan itu, beliau nekad untuk melakukannya.
Menurutnya, sekiranya dia menghembuskan nafas terakhir ketika pembedahan sedang berlangsung dia reda. Sebagai seorang bapa yang telah membesarkan Marliana atau mesra disapa sebagai Nana, dia inginkan anaknya itu sihat, tidak menderita, tidak perlu lagi untuk didialisis dan jatuh sakit lagi.
Tanggal 22 Disember 2020 menjadi detik bersejarah apabila kedua-dua mereka berjaya menjalani pemindahan buah pinggang di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM). Tempoh pembedahan selama 12 jam perlu ditempuhi oleh Nana, manakala 6 jam untuk Mohd Nor Azmi.
Berikutan pendermaan organ dilakukan semasa hidup, mereka perlu melalui Unrelated Transplant Approval Committee (UTAC) iaitu jawatankuasa bebas yang ditubuhkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menilai permohonan menjalankan pembedahan transplan organ daripada penderma masih hidup dan tidak mempunyai hubungan keluarga.
Menurut Nana, bapa tirinya tidak boleh membuat permohonan derma organ kerana bukan dalam kategori ahli keluarga darjah kedua. Namun doktor atau dia sendiri sebagai penerima organ boleh buat permohonan kepada UTAC. Doktor perlu menjalankan pelbagai ujian menilai kesesuaian bapa tirinya sebagai penderma. Selepas berpuas hati, seterusnya baru membuat permohonan dengan mengisi beberapa borang rasmi.
Marliana kini dalam proses pemulihan dan perlu menghadiri temujanji sususlan pada setiap dua minggu secara berterusan sekurang-kurangnya dalam tempoh 6 bulan. Namun Marliana turut diberitahu bahawa ada risiko penolakan kerana pemindahan bukan membabitkan keluarga biologi.
Mohd Nor Azmi sesuai sebagai penderma kerana memiliki kumpulan darah sama iaitu A, tetapi perlu melakukan transplan, banyak prosedur dilalui terutama pemadanan bukan biologi mengambil masa lima bulan sebelum pemindahan organ.
Selepas menerima buah pinggang baharu, hasil ujian dilakukan menunjukkan sedikit ‘mild rejection’ berikutan sistem antibodi badan mengesan sesuatu yang asing dalam tubuh. Bapanya perlu melakukan sekurang-kurangnya tiga kali biopsi bagi memastikan keadaan kesihatan baik dan organ baharu serasi dalam tubuhnya.
Tiada sebarang komplikasi berlaku pada Mohd Azmi, malahan dia yang aktif berjoging dan berbasikal tidak bimbang dengan keadaannya. Dia juga perlu melalui ujian jantung termasuk prosedur memasukkan iodin untuk memastikan tiada saluran darah tersumbat.
Semuanya berjalan dengan lancar, doktor nasihatkan jaga pemakanan dan bersenam kerana kini hidup dengan satu ginjal,” katanya.
Sumber: Berita Harian