Detik Cemas Enjin Pesawat Terbakar | Pelancong Rusia di Phuket berdepan detik mencemaskan selepas enjin pesawat dinaiki mereka terbakar, manakala tayar pula meletup ketika ia berlepas.
Metro UK melaporkan, pesawat Boeing 767-306ER itu terbakar ketika ia meninggalkan Lapangan Terbang Phuket untuk menuju ke Moscow.
Ketika kejadian, pesawat itu membawa kira-kira 300 penumpang dan 12 anak kapal.
Kesemua mereka yang berada di dalam pesawat itu dipindahkan dan kemudian diberitahu untuk menunggu penerbangan baharu.
Insiden itu juga tersebar selepas gambar dan rakaman dramatik menunjukkan pesawat itu dilanda kebakaran secara tiba-tiba akibat lonjakan suhu enjin.
Terdapat laporan adanya bunyi dentuman kuat dalam pesawat ketika ia berlepas.
Gear pendaratan juga terbakar di sebelah kanan pesawat yang sama, apabila pesawat itu membatalkan pelepasannya.
Syarikat penerbangan Rusia dalam satu kenyataan memaklumkan pakar teknikalnya giat melakukan kerja untuk membaiki kerosakan.
Penumpang penerbangan ZF-3604 itu kemudian diberikan penginapan di hotel, makanan dan minuman, sementara menunggu penerbangan lain ke Moscow.
Penumpang diberitahu mereka menaiki penerbangan dengan pesawat lain, hari ini.
Difahamkan, syarikat penerbangan Rusia itu disyaki mengendalikan pesawat yang sudah lama tanpa penyelenggaraan yang sewajarnya berikutan sekatan keras Barat berhubung perang Vladimir Putin di Ukraine.
Pesawat berusia 26 tahun yang dikendalikan oleh syarikat sewa Azur Air itu dikatakan dalam perjalanan ke ibu negara Rusia.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
Enjin Pesawat Terbakar Ketika Berlepas, Juruterbang Buat Tindakan Bijak
Penumpang di India mengalami detik cemas apabila enjin sebuah pesawat terbakar semasa berlepas yang memaksa seramai 184 orang dipindahkan, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Insiden itu melibatkan pesawat milik syarikat penerbangan IndiGo pada Sabtu lalu. Kejadian berlaku semasa pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi menuju ke ibu negeri Kartanaka, Bangalore.
Kebakaran mula dikesan ketika pesawat itu bergerak di landasan, menyebabkan juruterbangnya bertindak pantas dengan membatalkan perlepasan.
Rakaman oleh penumpang menunjukkan api berwarna jingga muncul di bahagian enjin pesawat.
Penumpang turut melaporkan terdengar bunyi letupan kuat sebelum melihat kebakaran berlaku.
Tiada penumpang dilaporkan cedera, manakala pesawat IndiGo itu dapat dikosongkan dengan selamat.
Menurut seorang penumpang, pesawat itu sedang bergerak laju dan hampir berlepas sebelum kebakaran berlaku.
“Semua orang cemas. Saya tidak tahu berapa ramai orang melihat enjin pesawat terbakar kerana ramai penumpang terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak duduk di barisan tersebut,” katanya.
Syarikat penerbangan IndiGo berkata, pesawat tersebut mengalami masalah teknikal, justeru, juruterbang membatalkan prosedur berlepas.
“Semua penumpang dan kru berada dalam keadaan selamat. Sebuah pesawat alternatif kemudian membawa semua penumpang yang terkandas serta berlepas pada pukul 12.16 tengah malam,” kata syarikat tersebut.
Penumpang Pesawat Cemas Atas Kejadian. Ini Ceritanya.
Penumpang Pesawat Cemas Atas Kejadian. Ini Ceritanya. | Lebih 120 penumpang sebuah pesawat diarah keluar serta-merta sejurus tiba di lapangan terbang di New York selepas satu pengecas telefon bimbit terbakar dan mula mengeluarkan asap, lapor portal berita MailOnline.
Pesawat JetBlue yang berlepas dari Bridgetown, Barbados tersebut ketika itu baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa JFK menjelang sambutan Krismas.
Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA), JetBlue dan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang New York dan New Jersey berkata, pesawat berkenaan sedang begerak ke pintu di Terminal 5 sekitar pukul 8.50 malam (waktu tempatan) ketika pengecas telefon bimbit membebaskan asap memenuhi kabin.
Kru penerbangan JetBlue 662 dengan pantas memadamkan kebakaran kecil itu namun, tujuh penumpang dilaporkan mengalami cedera ringan. Ia termasuk sesak nafas kerana terhidu asap serta lebam pada siku kerana saling bertolakan ketika cuba keluar dari pesawat.
Pasukan tindak balas pertama dan kru pesawat memindahkan 67 penumpang dari pesawat Airbus A320 itu menggunakan sistem gelongsor kecemasan manakala 60 lagi keluar mengikut pintu biasa.
Seorang penumpang yang duduk di barisan hadapan berkata, kapten pesawat bertindak pantas sejurus asap memenuhi ruang kabin.
Penumpang berkata, kapten pesawat dengan pantas mengambil pemadam api dan bertindak dengan pantas untuk mengawal kebakaran.
Penumpang juga menyatakan beliau amat hebat dan berjaya memadamkan api.
Sementara itu, jurucakap JetBlue berkata, syarikat tersebut sedang menyiasat insiden itu berdasarkan penyelarasan pihak FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).
Sumber: Kosmo