Digalakkan Pakai Dua Pelitup Muka Jika Berada Di Tempat Berisiko Tinggi | Ketika ini rakyat Malaysia masih bimbang dengan peningkatan angka penularan virus maut Covid-19 yang melanda. Justeru itu, norma baharu bagi masyarakat adalah dengan memakai pelitup muka sekiranya mereka mahu keluar dari rumah. Bukan itu sahaja, malah orang ramai juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walau dimana jua mereka berada bagi mengelakkan penularan wabak ini.
Putrajaya: Penggunaan dua keping pelitup muka serta pelindung muka amat digalakkan jika seseorang individu berada di tempat tempat awam sesak dan berisiko tinggi seperti di hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ketika ini kerajaan belum mewajibkan pemakaian dua keping pelitup muka. Walau bagaimanapun, beliau berkata, pemakaian pelitup muka fabrik tidak digalakkan ketika berada di hospital sebaliknya seseorang perlu memakai pelitup muka perubatan tiga lapis.
Katanya, pemakaian pelitup muka bagi seseorang itu adalah diwajibkan di tempat awam untuk melindungi diri daripada jangkitan.
“Penggunaan dua keping pelitup muka akan dapat menapis lebih 95 peratus dan ini disarankan terutama di tempat awam berisiko tinggi terutama di hospital,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
Sementara itu, beliau ditanya jika kerajaan akan mewajibkan pemakaian dua keping pelitup muka berbanding satu ketika ini selepas tular gambarnya di Facebook memakai dua keping pelitup muka serta goggle.
Dr Noor Hisham berkata, kebanyakan petugas kesihatan hospital digalakkan menggunakan pelitup mula jenis perubatan tiga lapis atau topeng N95 serta pelindung muka jika mereka bekerja di wad Covid-19 termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta berpakaian lengkap alat perlindungan peribadi (PPE).
Beliau berkata, jurnal perubatan The Lancet sebelum ini juga turut melaporkan virus Covid-19 merebak bukan lagi melalui titisan (droplets) sebaliknya juga secara bawaan udara (airborne) justeru pemakaian pelindung muka amat digalakkan.
Sumber: Berita Harian