Masalah Sindrom Down Tidak Halang Remaja Jadi Penghafaz Al-Quran | Khalifah Media Networks – Apabila lahirnya seorang bayi ke dunia, ada kalanya kita tidak dapat memastikan kesihatannya dan kecerdasan mindanya pada hari pertama ia didatangkan oleh yang maha Pencipta ke alam ini. Kita akan menerima seadanya dan akan memanjatkan  kesyukuran yang tidak terhingga  kehadrat Allah SWT.

Masalah Sindrom Down Tidak Halang Remaja Jadi Penghafaz Al-Quran

Kuala Lumpur: Dilahirkan sebagai insan istimewa dengan masalah sindrom down, tidak menghalang remaja, Muhamad Luqman Nazim Muhamad Fadzli, untuk menjadi seorang penghafaz al-Quran.

Walaupun dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna seperti insan lain. Namun Muhamad Luqman Nazim, 17, dikurniakan daya ingatan yang kuat dan terang hati. Sehingga membolehkannya menghafaz surah-surah lazim seperti al-Fatihah, al-Falaq, an-Nas, al-Kaafirun, al-Asr, al-Fil, al-Ma’un dan al-Kausar sejak kecil.

Kata Ibunya

Ibunya, Farah Nazim Bulya Nazim, 42, yang menetap di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Beliau berkata anak sulung daripada empat beradik itu mula mengenal huruf, angka dan jawi pada usianya dua tahun. Serta mula membaca ketika berusia enam tahun.

Malah katanya, anak istimewa yang pernah menghidap penyakit jantung berlubang dan injap sempit ketika kecil dulu. Menamatkan bacaan Muqaddam ketika berusia 10 tahun dan kini sedang mengaji pada juzuk 15, surah al Isra’. Dengan dibantu oleh bapanya Muhamad Fadzli Abdullah, 45.

“Alhamdulillah, Muhamad Luqman Nazim dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat. Dia dapat mengingat sesuatu dalam masa singkat dan cepat, contohnya dia mampu menghafaz surah al-Kahfi ayat 1 hingga 10 hanya dalam tempoh tiga hari dan terbaru, Qunut Nazilah dalam masa sehari,” katanya.

Ibunya berkata, dia sentiasa berbual dan bercakap dengan anaknya dengan sebutan intonasi menggerakkan mulut secara perlahan-lahan kerana dia percaya dalam usia ini Luqman sebenarnya sedang belajar melalui pergerakan bibir.

Pada masa sama, Farah Nazim turut mengelak untuk bercakap dengan menggunakan bahasa pelat budak kecil bagi mengelakkan anaknya itu terikut dengan cara bercakap tidak betul. Beliau juga sering mengurut muka Muhamad Luqman Nazim sejak dari kecil bermula dari bahagian kening, batang hidung dan mulut sampai ke pipi sambil berzikir.

Sementara itu, untuk proses menghafaz pula, Farah Nazim lebih selesa menggunakan kaedah pengulangan serta memberi ganjaran setiap kali anak-anaknya berjaya menghafaz sesuatu surah.

Masalah Sindrom Down Tidak Halang Remaja Jadi Penghafaz Al-Quran

“Bagi saya anak-anak perlu diajar berdisiplin termasuklah Muhamad Luqman Nazim. Sebagai ibu bapa, kita perlu tegas tetapi penyayang selain sentiasa memegang jawatan guru disiplin peribadi untuk anak-anak,” katanya.

Minat Memasak

Selain dikurniakan dengan daya ingatan yang kuat, Muhammad Luqman Nazim juga tidak kekok untuk membantu ibunya memasak. Sehingga video membantu ibunya memasak turut tular di media sosial baru-baru ini di laman Facebook (FB) ‘Masak Apa Hari Ini’.

Gelagatnya yang sangat bersahaja dan ceria menyebabkan rata-rata warga net yang menonton video masakannya itu. Malah terhibur setelah melihat aksinya seperti seorang cef profesional mengendalikan program memasak.

Sementara itu, Farah Nazim yang juga ahli kumpulan Persatuan Bunga-Bunga Syurga Sindrom Down Malaysia.  Pada masa sama berharap agar masyarakat dan pihak berkenaan peka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) ini. Dengan memberi peluang kepada mereka untuk hidup dalam komuniti.

“Anak-anak ini ada keistimewaannya tersendiri yang perlu dicungkil dan digilap secara berterusan. Mereka juga berhak disayangi dengan betul iaitu dengan memberikan didikan kendiri dan bukannya kasih sayang tanpa ilmu,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada kerajaan agar satu silibus pendidikan khas Sindrom Down diwujudkan bagi memperkasa kebolehan golongan itu.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply