Kasih hingga ke akhir hayat, remaja terkorban lepas nekad cuba selamatkan ibu lemas di pantai ketika kutip plastik.
Remaja perempuan 18 tahun dilapor terkorban selepas menyelamatkan ibunya daripada lemas di sebuah pantai di Balikpapan, Kalimantan Timur.
Menurut Detik.com, video tular di media sosial memaparkan remaja tersebut nekad berenang di lautan bagi membantu ibunya yang ‘ditarik ombak’.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Balikpapan Selatan, Iptu Hendri Saragih berkata mangsa berusaha untuk menyelamatkan ibunya namun dia pula yang dihanyutkan dan ditemui mati.
Menurutnya, mangsa cuba menyelamatkan ibunya yang ditarik ombak, kebetulan ketika itu airnya tinggi, akhirnya mangsa dihanyutkan dan ditemui mati.
Jelasnya lagi, kejadian itu berlaku ketika ibu mangsa, 52, sedang mencari plastik terpakai di pinggir Pantai Seraya, Daerah Balikpapan Selatan, semalam.
Ketika mencari plastik itu, wanita terbabit telah tergelincir dan dibawa arus.
Selepas anaknya juga turut dihanyutkan air deras, wanita tersebut berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang melihat kejadian itu.
Difahamkan, dia diselamatkan oleh penduduk yang datang menghulurkan bantuan dengan menaiki bot.
Ketika kejadian seorang lagi anak kepada wanita ini yang juga abang kepada remaja tersebut telah meminta bantuan penduduk setempat dan diselamatkan dengan menaiki bot.
Menurut laporan, tindakan menyelamat itu juga berlaku dengan penuh dramatik kerana keadaan ombak ketika itu agak kuat.
Selepas kejadian, polis segera ke lokasi kejadian untuk tujuan siasatan.
Manakala, ibu mangsa kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Balikpapan.
Sementara itu, bedah siasat ke atas mangsa turut dijalankan dan jenazahnya akan diserahkan kepada keluarganya.
Sumber: Siakap Keli