Enam Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang, Rumah Didiami Terbakar | Kejadian rumah terbakar seringkali berlaku dan ada kalanya meragut nyawa ramai orang yang tidak sempat untuk menyelamatkan diri mereka sendiri.
Tumpat: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka di Kampung Kelaboran di sini hangus terbakar dalam kejadian malam tadi.
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 10.45 malam itu, keenam-enam ahli keluarga yang berusia dalam lingkungan antara 20 hingga 50 tahun sempat menyelamatkan diri apabila mereka semua dikatakan masih belum tidur.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, kejadian disedari salah seorang ahli keluarga yang sedang memasak di dapur sebelum terhidu bau asap dari arah sebuah bilik.
Beliau mengulas lanjut, kesemua ahli keluarga itu terus keluar menyelamatkan diri sebelum api merebak ke seluruh bahagian rumah tersebut.
“Seramai 15 orang anggota bomba terus bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.50 malam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, menurut Wan Baijuri, bomba berjaya mengawal kebakaran dan operasi tamat pada pukul 12.38 malam tadi.
Katanya, kejadian itu menyebabkan keenam-enam ahli keluarga itu tinggal sehelai sepinggang. Tambahnya, bomba sedang menyiasat punca kejadian kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami mangsa.
Sumber: Kosmo