Serdang: Seramai 16 individu direkod keterangan berhubung dakwaan murid dikasari ketika menghadiri kem motivasi di daerah ini, akhir November lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, 16 individu berkenaan terdiri daripada 10 murid, tiga wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menganjurkan kem berkenaan serta tiga wakil pihak sekolah.

“Kertas siasatan sudah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Selasa lalu untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan di Pusat Jagaan Rumah Juara, di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 60 murid Tahun Lima yang menghadiri kem dua hari dikendalikan sebuah NGO pulang ke rumah dalam keadaan lemah dan menangis selepas menyertai kem motivasi itu.

Peserta kem itu turut mendakwa fasilitator berkenaan turut melakukan kekasaran dengan mencekik dan menolak ke dinding serta dipukul dengan penyapu.

Anbalagan dipetik berkata, pihaknya menerima empat laporan daripada ibu bapa murid berkenaan berhubung kes itu pada 5 Disember lalu.

Katanya, murid berkenaan mendakwa dikenakan tindakan fizikal seperti disembur dengan air di tengah padang sekolah dengan hanya berseluar dalam, dihukum melakukan ketuk ketampi hanya kerana berbual serta dipukul dengan penyapu.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Harian Metro

 

Wanita Dakwa Anak Dipukul Guru Hingga Lebam Akibat Hilang Buku Matematik

Kulim: Hanya kerana menghilangkan buku matematik, seorang murid perempuan Tahun Lima lebam lengan kiri serta bengkak pipi selepas dipukul guru wanita ketika sesi pembelajaran dalam kelas di sebuah sekolah rendah, dekat sini semalam.

Kejadian itu diketahui ibu kepada murid berkenaan sebelum membuat laporan polis pada 5 petang kerana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku terhadap anaknya.

Menurut sumber, hasil siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu mengetahui perkara berkenaan daripada nenek mangsa yang menghubungi dan memaklumkan kejadian menimpa murid terbabit.

“Mendengarkan anaknya mengalami kecederaan akibat dipukul guru, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum mangsa dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Kulim.

“Setakat ini, siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu dipukul gurunya kerana dia menghilangkan buku matematik,” katanya.

Sumber berkata, setakat ini siasatan menyeluruh sedang serta masih dijalankan termasuk akan mengambil keterangan daripada guru wanita berusia 40-an yang didakwa memukul mangsa itu.

“Selain itu, kita juga sudah memaklumkan kejadian terbabit kepada pegawai perhubungan serta pihak sekolah itu sendiri bagi memudahkan siasatan dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Mohd Redzuan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berhubung kes terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana masih dalam siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply