Gambar Status Arwah Ayah Pengubat Rindu. | Batu Gajah: “Gambar status WhatsApp arwah ayah bersarapan semalam adalah yang terakhir kami boleh lihat selepas ini bagi melepaskan rindu,” luah Mohd Ikman Hafifi Mohd Ramddan, anak kepada Mohd Ramddan Abd Rahim dan Kisdalliana Saad yang maut dalam kejadian kemalangan di KM 3.5 Jalan Gopeng-Kota Bharu, semalam.

KELUARĀ BELI BARANG KEPERLUAN

Dalam kejadian kira-kira 5.20 petang semalam, Mohd Ramddan, 44, dan isterinya, Kisdalliana, 43, maut di tempat kejadian manakala ibu Mohd Ramddan, Noraini Ahmad, 63, serta anak pasangan itu Nur Fatihah Najihah Mohd Ramddan, 7, parah di kepala semasa dalam perjalanan menghantar barang yang dibeli untuk anak sulung mereka yang baru mendaftar di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng.

Mohd Ikman Hafifi, 17, berkata, dia mendapat tahu berita mengenai kejadian terbabit daripada ibu saudaranya kira-kira jam 5.50 petang semalam ketika berada di rumah mereka di Kampung Serkai Jadi, Tronoh, di sini.

“Beberapa minit selepas itu, kakak sulung yang baru mendaftar di Kolej Matrikulasi Perak, Gopeng (Nur Fatin Syafikah Mohd Ramddan, 18) menelefon dan beritahu bahawa ayah dan mak sudah meninggal dunia.

“Perasaan ketika itu sangat terkejut dan tak percaya, saya tak terfikir akan kehilangan kedua-dua mereka serentak dengan cara begini.

“Terasa masih terdengar lagi suara mereka kali terakhir kami rancak berbual malam kelmarin semasa mengemas barang-barang kakak sulung sebagai persiapan masuk kolej,” kata anak kedua dari empat beradik itu sayu.

Menurutnya, dia dan seorang lagi adiknya, Mohd Aiman Daniel Mohd Ramddan, 13, sepatutnya ikut bersama ke Gopeng semalam, namun pada saat-saat akhir, ibunya meminta mereka berdua kekal di rumah.

NENEK PANDU KERETA

Katanya, neneknya memang akan memandu kereta apabila membawa keluarganya ke mana-mana kerana ibu bapanya tidak mempunyai lesen kereta.

Mohd Ramddan bertugas sebagai kerani di sebuah sekolah menengah di Menglembu, manakala Kisdalliana bekerja di sebuah kilang keropok berdekatan rumah mereka.

Mohd Ikman Hafifi berkata tiada sebarang perubahan sikap yang ditunjukkan ibu bapanya melainkan membenarkan dia berhenti sekolah sejak September tahun lepas untuk bekerja di kilang pemprosesan tempat sama ibunya bekerja.

“Pagi semalam sebelum bertolak, mak pesan kepada saya supaya tengok-tengokkan adik (Mohd Aiman Daniel) yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tronoh, minta saya hantar dan jemput adik dari sekolah,” katanya ketika ditemui di kediamannya, hari ini.

Sementara itu, adik bongsu kepada Mohd Ramddan, Mohd Azlan Abd Rahim, 37, berkata dia akan mengambil tugas menjaga keempat-empat anak saudaranya selepas ini.

Hadir melawat keluarga terbabit, Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed, pengurusan Kolej Matrikulasi Perak serta guru SMK Tronoh.

Salbiah ketika ditemui berkata beliau akan memanjangkan keperluan anak-anak pasangan berkenaan yang masih belajar ke perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jenazah Mohd Ramddan dan Kisdalliana dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serkai Jadi, Tronoh di sini jam 11.45 pagi tadi.

Difahamkan, Noraini sudah menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di kepala di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan masih dalam pemantauan pihak hospital.

Anak sulung pasangan itu yang baru berdaftar di Kolej Matrikulasi Perak, Nur Fatin Syafikah pagi ini turut berada di HRPB bagi menguruskan pembedahan adik bongsu, Nur Fatihah Najihah yang parah di kepala.

Sumber : HM

 

 

ARTIKEL BERKENAAN

Suami Isteri Meninggal Dunia Slps Daftar Anak Masuk Kolej. | GOPENG – Sepasang suami isteri maut selepas kereta Proton Perdana yang dinaiki mereka terbabas melanggar pagar sebuah premis di Kilometer 3.5, Jalan Gopeng-Kota Bharu di sini pada Isnin.

Ibu Bapa Kemalangan

SUAMI ISTERI MENINGGAL DUNIA

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.20 petang itu, mangsa, Mohd Ramddan Abd Rahim, 44, dan isterinya, Kisdalliana Saad, 43, yang merupakan penumpang belakang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu Kisdalliana berusia 63 tahun yang juga pemandu kereta dan anak perempuan pasangan terbabit berusia 7 tahun dilaporkan cedera parah di bahagian kepala.

DAFTAR ANAK MASUK KOLEJ

Difahamkan, pasangan suami isteri itu baru mendaftar masuk anak mereka di Kolej Matrikulasi Perak dan keluar membeli barang keperluan sebelum terbabit kemalangan ketika mahu menghantar barangan yang dibeli.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, laporan awal kemalangan diterima melibatkan sebuah kereta yang terbabas sendiri.

“Hasil siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan kawasan kilang memproses tayar terpakai. Kenderaan berkenaan dipandu dari arah Gopeng menuju ke Kota Bharu.

“Kereta terbabit didapati berada di atas pagar dengan kedua-dua mangsa berada berhampiran kenderaan itu. Difahamkan mayat mangsa dialihkan oleh pihak bomba,” katanya.

Menurut Mohamad Nazri, kedua-dua mangsa yang parah pula dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

SEORANG LELAKI TERSEPIT

Tambah beliau, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, operasi menyelamat dijalankan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng.

“Terdapat seorang lelaki tersepit di bahagian penumpang manakala tiga yang lain dikeluarkan oleh orang awam.

“Pasukan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut beliau, mangsa yang parah dihantar mendapatkan rawatan di hospital dengan menggunakan ambulans dan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

Sumber : SH

Share.

Leave A Reply