Gempa Bumi Di Turkiye & Syria, Ini Tindakan Penduduk Palestin Lakukan. | Penduduk Palestin di Semenanjung Gaza pada Ahad mengadakan kempen khas derma darah untuk membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.
Kempen ini menunjukkan solidariti mereka kepada rakyat Turkiye dan Syria.
“Apa yang berlaku di Türkiye dan Syria turut memberi kesan kepada seluruh negara Arab dan Islam,” kata pengarah eksekutif Institut Al-Amal untuk Anak-anak Yatim, Iyad al-Masri yang menganjurkan kempen derma darah itu, lapor Agensi Anadolu.
Bertemakan One Body, al-Masri berkata, kempen sehari itu “menghantar mesej kasih sayang dan keamanan untuk semua.”
Menurut angka rasmi terkini, lebih 30,000 orang terbunuh dan lebih 80,000 lagi cedera akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye Isnin lalu.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang berpusat di wilayah Kahramanmaras itu menjejaskan 13 juta orang di 10 wilayah di Turkiye dan gegarannya turut dirasai di beberapa negara di rantau itu.
Di Syria, sekurang-kurangnya 3,574 orang terbunuh manakala lebih 5,290 yang lain cedera.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
‘Selamat Bertugas Wira’, Denti Dan Frankie Sertai Misi Di Turkiye
SELEPAS 55 hari tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor, anjing Unit Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Denti dan Frankie pada Rabu diterbangkan ke Turkiye untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian gempa bumi.
Selain Denti dan Frankie, penghantaran pasukan penyelamat kedua dari Malaysia turut disertai 20 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), 30 anggota JPBM dan 20 pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Pada Disember 2022, Denti dan Frankie berjaya membantu bomba untuk mengesan enam mayat mangsa tragedi runtuhan cerun di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting Highlands-Batang Kali, Selangor.
Ketika itu Denti dan Frankie turut dibantu beberapa ekor anjing K9 iaitu Pop, Blake, Lady dan Grouse.
Anjing K9 ialah haiwan pengesan yang mempunyai kepakaran dan terlatih dalam mengesan mayat di dalam tanah serta air.
Ketika itu, Denti dan Frankie yang terbabit dalam operasi SAR mangsa runtuhan cerun itu mencuri perhatian orang ramai di media sosial yang kagum melihat kecekapan dan ketangkasan dalam operasi berkenaan.
Namun sekali lagi, Denti dan Frankie mendapat perhatian orang ramai apabila mereka ditugaskan menyertai misi mencari dan menyelamat di Turkiye akibat gempa bumi.
Menerusi tinjauan di ruangan komen, rata-rata orang ramai memberikan ucapan kepada dua ekor anjing K9 itu.
“Turkiye masih dalam keadaan cuaca dingin, tolong pastikan Denti dan Frankie pakai baju/warmer please,” kata @RozetheWanderer.
“Mahu dapat Datuk si Denti dan Frankie ini bila balik nanti,” jelas @MuizOfficial.
“Selamat bertugas wira, semoga selamat pergi dan selamat balik,” ujar @Nuneolighteu.
“Comel, semoga berkhidmat dengan cemerlang dapat menyelamatkan dengan sebaik mungkin dan seterusnya naikkan nama Malaysia,” luah @Dddykool.
Dalam pada itu, Ketua Komander Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) JBPM, Ismail Abd Ghani berkata, anjing pengesan dibawa bersama bagi memaksimumkan tugasan apabila berada di lokasi.
“Anjing pengesan ini sangat membantu dalam usaha mengesan lokasi di mana mangsa berada.
“K9 adalah antara pasukan atau unit yang termasuk dalam misi mencari dan menyelamat SMART, jadi mereka ini memang bersedia untuk diatur gerak ke mana-mana (lokasi di) luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada pelepasan misi SAR di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada Rabu.
Ismail berkata, kedua-dua anjing terbabit dipilih menyertai misi itu kerana memiliki kepakaran mencari mangsa hidup dan mayat.
Ditanya sama ada Denti dan Frankie mampu bertahan dalam penerbangan ke Istanbul yang dijangka mengambil masa 11 jam, beliau berkata, perkara itu tidak menjadi masalah.
“Antara penilaian ketika perolehan dulu adalah anjing ini boleh dibawa melalui penerbangan, jadi tidak ada masalah untuk penerbangan yang lama kerana kita dah uji sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, Denti dan Frankie pernah terbabit dalam operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember tahun lalu.
Katanya, Denti, anjing daripada baka Labrador, dan Frankie daripada baka English Springer Spaniel, masing-masing akan dikendali oleh pegawai bomba Tony Anak Albert Mani dan Y Thibagaran.
Terkini, angka korban terbaharu akibat gempa bumi dahsyat Isnin lalu di tenggara Turkiye dan sempadan Syria sudah melepasi 7,800 orang.
Lapor Theguardian.com, di Turkiye, seramai 5,894 orang disahkan terbunuh manakala 1,932 orang maut di Syria dengan jumlah keseluruhan 7,826 kematian.
Pada Selasa, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran bahawa jumlah korban boleh melebihi 20,000 orang.
Sumber: Majoriti