Gempa Bumi Kuat Di Indonesia | Gempa bumi kuat bermagnitud 7.6 melanda luar pantai Indonesia dan Timor-Leste, awal Selasa, lapor Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Pusat gempa itu terletak kira-kira 427 kilometer (km) di selatan pulau Ambon di Indonesia, pada kedalaman 95 km, kata USGS.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Indonesia melaporkan beberapa gegaran susulan, direkodkan pada magnitud 5.5.

Agensi itu berkata, gegaran turut dirasai di pulau Timor, kepulauan Maluku, dan Papua.

Bagaimanapun, tiada laporan diterima mengenai kerosakan atau mangsa.

Hamdi, salah seorang penduduk Indonesia di Ambon, berkata kepada AFP bahawa dia berada di atas katil, kemudian berasa sedikit gegaran. Hamdi tersedar dan dapati ramai rakannya turut merasakannya.

Seorang penduduk yang tidak dikenali di Dili, ibu kota Timor Timur, melaporkan gegaran sangat kuat.

Gempa itu menyebabkan tiang lampu bergoyang dan penduduk bertempiaran lari dari bangunan dan ke jalan di Tual, sebuah pelabuhan di kepulauan Maluku, berdasarkan video dimasukkan naik pengguna di Twitter.

Agensi geofizik Indonesia memberi amaran mengenai kemungkinan tsunami sebelum menarik semula amaran berkenaan.

Gempa itu dirasai sehingga ke Darwin, ibu kota Wilayah Utara Australia dengan sekurang-kurangnya 1,000 individu melaporkannya kepada agensi Geosains Australia.

Sumber: Harian Metro

 

Artikel Lain

11 Ahli Keluarga Hilang Sekelip Mata Terkorban Akibat Gempa Bumi.

11 Ahli Keluarga Hilang Sekelip Mata Terkorban Akibat Gempa Bumi. | Jakarta: Enjot sedang mengembala lembunya di bukit berhampiran rumahnya apabila bumi bergegar. Gempa bumi bermagnitud 5.6 mengorbankan sekurang-kurangnya 268 orang, termasuk 11 ahli keluarga Enjot.

Kakak iparnya dan dua anaknya cedera, antara ratusan yang cedera dalam gempa bumi di Cianjur, Jawa Barat, Isnin lalu. Kini, Enjot melawat ahli keluarga yang terlantar di hospital dan cuba membina semula kehidupannya yang hancur.

“Hidup saya tiba-tiba berubah,” kata Enjot, 45, yang menggunakan satu nama seperti kebanyakan rakyat Indonesia.

“Saya perlu hidup dengannya mulai sekarang,” katanya.

Pusat gempa terletak di selatan kampung halaman Enjot, Cianjur, kira-kira tiga jam pemanduan dari ibu negara, Jakarta.

Selepas mendapat panggilan daripada anak perempuannya, Enjot menaiki motosikalnya dan bergegas pulang ke rumah, tiba dalam beberapa minit untuk melihat kawasan kejiranannya rata.

“Lelaki, wanita dan kanak-kanak menangis, manakala orang ramai yang terperangkap di dalam rumah yang runtuh (dan) menjerit meminta tolong.

“Saya melihat kemusnahan yang dahsyat dan adegan yang menyayat hati,” katanya.

Kakak iparnya dan anak-anaknya, yang berkunjung dari kampung berhampiran, adalah antara mangsa yang lebih bernasib baik.

Individu lain mendengar jeritan mangsa dari runtuhan dan menarik mereka keluar.

Wanita dan kanak-kanak itu parah di kepala dan patah tulang, serta sedang dirawat di sebuah hospital.

Menurut Agensi Bencana Negara, sehingga petang Selasa, lebih 268 terbunuh dengan ratusan hilang dan cedera, hampir semuanya di dalam dan sekitar Cianjur.

Jumlah mangsa dijangka meningkat.

Seperti kebanyakan penduduk kampung lain, Enjot bertungkus lumus menggali untuk mencari mangsa yang terselamat, dan berjaya menyelamatkan beberapa orang.

Tetapi jalan yang tersekat dan jambatan rosak bermakna pihak berkuasa tidak dapat membawa masuk jentera berat yang diperlukan untuk mengalihkan kepingan konkrit dan runtuhan lain yang lebih besar.

Sepanjang hari itu, saudara-mara meratap ketika mereka melihat penyelamat menarik mayat berlumuran lumpur dari bangunan yang musnah, termasuk salah seorang anak saudara Enjot.

Tidak jauh dari rumah Enjot, gempa susulan mencetuskan tanah runtuh yang merempuh rumah salah seorang saudaranya dan menimbus tujuh orang di dalamnya.

Empat berjaya diselamatkan, tetapi dua anak saudara dan seorang sepupu terbunuh, katanya.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply