Guru Tolak Vaksin Di Johor, Ini Tindakan Oleh TMJ Pada Mereka | Susulan laporan guru menolak untuk divaksin, ini tindakan akan dilakukan oleh Tunku Mahkota Johor pada guru-guru tersebut. Baca selanjutnya..
Johor Bahru – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Pendidikan Johor bagi mengambil maklum berhubung 779 guru yang menolak menerima vaksin Covid-19.
Tunku Ismail menerusi dua ciapan di akaun Twitter baginda hari ini bertitah, pertemuan itu akan diadakan dalam masa terdekat bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul.
“Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini secepat mungkin supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Insha-Allah kita boleh selesaikan masalah ini dengan cara berhemah,” titah baginda dalam ciapan berkenaan.
Tunku Mahkota Johor membuat ciapan berkenaan apabila seorang netizen berkongsi laporan berita berkenaan seramai 779 guru di Johor menolak untuk menerima vaksin Covid-19.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri, Mazlan Bujang mendedahkan kira-kira 779 guru di negeri ini yang dilaporkan menolak untuk menerima vaksin Covid-19.
Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu dalam perkara itu agar golongan guru terlibat yakin menerima vaksin kelak.
“Kerajaan negeri akan memanggil 779 guru yang menolak vaksin itu secara individu bagi diberi penerangan dan kaunseling supaya mereka faham kepentingannya, apatah lagi sesi persekolahan dijangka dibuka Oktober ini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nor Hayati Bachok (Amanah-Maharani) berkenaan kadar vaksinasi guru di negeri ini pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 di Kota Iskandar dekat sini hari ini.
Sumber : Kosmo