Ibu bapa yang mendakwa yang bahawa anak mereka – seorang pelajar tingkatan tiga yang dikatakan cuba ditukar agama oleh seorang guru – menolak alasan pihak sekolah bahawa dakwaan tindakan guru tersebut cuma sebagai satu gurauan.
“Ketika kami berjumpa pihak sekolah mereka memberitahu bahawa cikgu itu mungkin bergurau sahaja.
“Kami tidak sama sekali menerima alasan pihak sekolah bahawa perbualan cikgu itu sekadar gurauan.
“Sekadar gurauan mungkin sekali dua sahaja. Bukan selama enam bulan, sehingga mencadangkan nama Islam untuk menukar agama,” kata Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia Arun Dorasamy yang mewakili pihak keluarga.
Sehubungan itu, keluarga itu menuntut supaya kerajaan, khususnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyegerakan siasatan dalaman.
Arun berkata bahawa siasatan perlu diselesaikan dengan segera demi kebaikan semua pihak.
“Kami faham siasatan polis mungkin mengambil masa. Jadi, kami nak siasatan dalaman melibatkan KPM disegerakan. Kami tidak nak siasatan dalaman itu hanya sekadar untuk mengaburkan mata.
“Ini demi kebaikan semua pihak khususnya pelajar-pelajar yang belajar di sekolah tersebut,” katanya.
Arun berkata demikian ketika diminta untuk mengulas status terkini insiden tersebut yang masih sedang disiasat oleh KPM dan pihak polis.
Sebelum ini, adalah dilaporkan guru tersebut cuba mendorong pelajar tersebut untuk memeluk Islam, dengan alasan ini akan meningkatkan peluangnya untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan.
Guru berkenaan juga didakwa telah mencadangkan beberapa nama Islam untuk dipilih oleh remaja berusia 15 tahun itu.
Ibu pelajar berkenaan telah membuat laporan polis berhubung dakwaan mereka itu.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dan awam serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.
Sementara itu, KPM juga dilaporkan telah memulakan siasatan dalaman.
Dalam kenyataan, KPM memberitahu bahawa siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan perbuatan itu.
Sumber : Malaysiakini
ARTIKEL YANG BERKAITAN
Dakwa Guru Dorong Anak Masuk Islam, Ibu Pelajar Buat Laporan Polis
Akibat tidak berpuas hati tindakan seorang guru lelaki mendorong anak lelakinya memeluk agama Islam, seorang ibu bertindak membuat laporan polis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, laporan tersebut dibuat seorang wanita tempatan pada pukul 10.21 pagi.
“Wanita tersebut melaporkan, seorang guru lelaki telah mendorong anak lelakinya yang berusia 15 tahun memeluk agama Islam.
“Akibat tidak berpuas hati tindakan guru itu, ibu pelajar tersebut tampil membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zam Halim, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A dan 505(b) Kanun Keseksaan.
“Siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian ini dan beberapa orang saksi telah dirakam percakapan.
Sumber : KMN