Ibu Cedera Terkena Pisau Yang Dipegang Anak Semasa Solat Tarawih | Seringkali kita dengar di media sosial pada ketika ini mengenai anak sanggup melakukan perbuatan bunuh dan cederakan ibu mereka untuk mendapatkan sesuatu yang mereka inginkan.
Kepala Batas: Seorang wanita terpaksa menerima 10 jahitan pada tangan sebelah kiri akibat terkena pisau yang dipegang anak lelakinya yang dipercayai mempunyai masalah mental di sebuah rumah di Taman Orkid Permai, di sini, malam tadi
Kejadian yang berlaku kira-kira pada jam 9.30 malam itu, mangsa yang berusia 56 tahun bersama suaminya pada ketika itu sedang menunaikan solat tarawih di bahagian ruang tamu kediaman mereka.
Bagaimanapun, suami isteri itu telah dikejutkan dengan tindakan anak lelaki mereka yang berusia 29 tahun meluru ke arah mereka berdua dengan bersenjatakan pisau.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek yang sedangĀ memegang dua pisau di kedua-dua tangannya kemudian menghalakan senjata itu ke arah ibunya.
Katanya, suami mangsa yang menyedari akan tindakan itu kemudian menolak anaknya sehingga terjatuh, namun pisau tersebut terkena tangan kiri mangsa (isteri) yang pada ketika itu mangsa juga cuba untuk menghalang tindakan anaknya.
“Mangsa dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Kepala Batas (HKB) oleh anak-anaknya yang lain untuk rawatan lanjut berikutan mengalami luka di tangan dan dilaporkan dalam keadaan stabil serta sudah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, pihak polis segera ke lokasi kejadian sebaik sahaja mereka menerima panggilan berhubung insiden berkenaan.
“Melalui siasatan, anak lelaki suami isteri itu mempunyai masalah gangguan mental sejak tahun 2016 dan dalam proses perubatan sehingga kini.
“Suspek sudah lebih setahun hanya berkurung sahaja di dalam rumah sahaja tanpa bercakap dengan sesiapa.
“Kejadian yang berlaku amat mengejutkan mangsa dan suami berikutan suspek (anak) tidak pernah bertindak agresif terhadap ahli keluarga,” katanya.
Beliau berkata, polis menahan suspek yang tidak bekerja dan masih bujang itu untuk melakukan siasatan lanjut.
Dalam pada itu, polis juga telah merampas pisau yang digunakan suspek dalam insiden terbabit.
“Ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia negatif dadah. Suspek juga gagal memberi keterangan susulan keadaannya dan dia dihantar ke Hospital Jalan Perak untuk rawatan serta tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro