Ibu Dikecam Kerana Benarkan Anak ‘Ubah’ Mata | Seorang ibu di Jepun menerima kecaman kerana membenarkan anak perempuannya yang berusia sembilan tahun menjalani pembedahan kelopak mata untuk menjadi lebih cantik.
Di Jepun, pembedahan plastik adalah sah untuk sesiapa yang berumur di bawah 18 tahun selagi mendapat kebenaran ibu bapa atau penjaga yang sah.
Menurut laporan VICE Asia, baru-baru ini, sesetengah ibu bapa menggalakkan anak mereka menjalani rawatan kosmetik sebagai prosedur untuk meningkatkan penampilan fizikal mereka.
Dalam episod terbaru siriĀ Deadly Beauty, majalah dalam talian itu memaparkan Rucchi dan Micchi, pasangan ibu dan anak Jepun yang saluran YouTubenya memfokuskan pada solekan dan pembedahan plastik.
Untuk membantu anak perempuannya yang berusia sembilan tahun menjadi lebih cantik, Rucchi menyuruhnya menjalani blefaroplasti atau pembedahan kelopak mata berganda.
Ibu kanak-kanak itu berkata, sejak dia masih kecil, dia tahu mempunyai kelopak mata jenis ‘monolid’ dianggap hodoh.
Setiap kali dia dan kakaknya berjalan di kawasan kejiranan, adik-beradiknya sentiasa menerima pujian pada matanya yang besar dan cantik, manakala dia hanya diabaikan kerana matanya.
Si ibu menjalani pembedahan kelopak mata berganda ketika berusia 18 tahun, tetapi kenangan zaman kanak-kanak menyebabkan dia mahu anak perempuannya menjalani pembedahan sama pada usia lebih muda.
Rucchi membayar AS$2,850 (RM12,944) untuk pembedahan mata anak perempuannya yang memerlukan pembedahan pada lipatan kelopak matanya dan memotong kulit yang kendur.
Ia sepatutnya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja, tetapi akibat komplikasi, kanak-kanak perempuan itu akhirnya menghabiskan masa sekitar dua jam di meja bedah.
Micchi memberitahu VICE, dia menjalani pembedahan kerana orang selalu menegur matanya ‘sepet dan kelihatan seperti menjeling ke arah orang’.
Namun, dia mendakwa, hidupnya tidak benar-benar berubah sejak menjalani blefaroplasti .
Rucchi berkata, orang sentiasa memuji anak perempuannya dan memberitahu, dia kelihatan lebih comel sekarang.
Ibu itu turut mengesahkan anaknya bakal menjalani pembedahan hidung dan jika tidak yakin dengan saiz buah dadanya, dia akan menggalakkan mereka untuk menjalani pembesaran payudara juga.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
Buat Pembedahan Plastik Elak Wajah Dicam Polis
Melarikan diri kerana takut ditangkap polis. Itu tindakan yang dilakukan oleh lapan wanita di Kelantan yang dikehendaki polis.
Mereka antaranya terbabit dengan kes bunuh, samun dan curi itu melarikan diri sejak 17 tahun yang lalu.
Mengulas isu itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, wanita-wanita yang dikehendaki polis ini mungkin masih berada di pedalaman Kelantan dan kehidupan mereka suka berpindah-randah.
Katanya, mereka berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain kerana tidak mahu dijejaki polis seterusnya akan ditangkap.
Jelasnya, pihak kita tetap mencari mereka termasuk berhubung dengan polis luar Kelantan untuk menjejaki mereka bagi menyelesaikan kes yang tertangguh.
Sambungnya, namun, ada dalam kalangan mereka ini mungkin sudah melarikan diri ke negara jiran, Thailand dan sudah bertukar identiti serta nama bagi mengelakkan ia dikesan pihak polis.
Jelas beliau, kemungkinan mereka yang melarikan diri ke negara jiran juga sudah berkahwin dengan warganegara sana dan takut untuk pulang ke Kelantan kerana bimbang ditahan polis,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat (IPK) Polis Kontinjen Kelantan di sini.
Beliau berkata, bagi mengelakkan identiti dikesan, dipercayai ada dalam mereka ini menjalani pembedahan plastik untuk bertukar wajah.
Katanya, jika ini yang berlaku, agak sukar untuk pihak polis menjejaki kerana mereka sanggup tukar identiti dan wajah bagi melarikan diri daripada polis.
Beliau mendakwa, suspek wanita ini boleh bertukar wajah dan fizikal, lebih-lebih lagi yang melarikan diri sejak 2005 hingga menyebabkan sukar untuk pihak polis mengecam mereka. Berbanding suspek lelaki, walaupun mereka melarikan diri namun wajah dan fizikal tidak banyak berubah.
Tambahnya, perkara ini memberi cabaran kepada pihak kita namun pihak polis tidak pernah berhenti untuk menjejaki mereka termasuk kerap pergi ke rumah keluarga, namun mereka tidak memberi kerjasama dan memaklumkan sudah tidak berhubung lama dengan wanita berkenaan.
Katanya lagi, kemungkinan pihak keluarga tahu lokasi suspek berada, namun mereka mahu melindungi suspek supaya tidak dapat ditangkap.
Shafien berkata, suspek wanita yang melarikan diri, mereka tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan masing-masing mempunyai satu kes.
Beliau berkata, berbeza dengan suspek lelaki, mereka kebanyakan mempunyai rekod kesalahan lampau.
Sumber: Harian Metro