Individu Hilang Disyaki Terjatuh Jambatan Kedua, Tinggal Motosikal Tepi Tembok | SEBERANG PERAI – Seorang individu dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari Kilometer 5.8 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau lebih dikenali Jambatan Kedua dari Batu Kawan menghala ke Bayan Lepas di sini petang tadi.
Mangsa yang belum dikenal pasti identitinya itu dikatakan bertindak meninggalkan sebuah motosikal jenis Honda Wave Alpha di tepi tembok jambatan berkenaan.
Jurucakap bomba negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.13 petang dan operasi mencari setakat pukul 7 malam ini belum menemui mangsa.
“Pihak pengurusan Jambatan Kedua Pulau Pinang memaklumkan terdapat sebuah motosikal ditinggalkan di atas jambatan dikhuatiri milik mangsa. Tindakan anggota adalah melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat di permukaan air serta dibantu pasukan polis Marin dan Maritim Malaysia (APMM),” katanya di sini.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Tegur Buat Bising, Seorang Tukang Cuci Dipukul Dan Dicampak Bawah Jambatan
Seorang wanita dipukul oleh sekumpulan lelaki sebelum dicampak ke bawah jambatan di Kampung Sawah, Banting dalam kejadian pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang terdengar suara orang meminta tolong di bawah jambatan berkenaan.
Beliau berkata, mangsa iaitu wanita berusia 52 tahun diselamatkan orang awam selepas satu jam berada di bawah jambatan terbabit dan dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan.
Katanya, susulan kejadian itu mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri dipercayai akibat ditetak suspek.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas mangsa menegur tindakan salah suspek yang kerap membuat bising serta selalu meminum minuman keras dan mengambil dadah dalam rumah sewa yang didiami mereka.
“Mangsa dipukul dan dicederakan dengan menggunakan senjata tajam dan rotan oleh beberapa lelaki warga tempatan sebelum dicampak ke bawah jambatan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat berjaya menahan lima lelaki warga tempatan secara berasingan antara jam 1 tengah hari hingga 6 petang di sekitar Banting,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Perdana dan sebatang rotan yang dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa.
Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 30 an dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Hasil saringan air kencing terhadap kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis Methaphetamine dan ganja.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan.
Sumber : HM