Polis merampas satu bahan larangan berupa ubat gigi daun ganja yang dialamatkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Bungkusan mengandungi ubat gigi ganja yang konon dibeli Anwar dan Rafizi. - Foto PDRM

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata kes pada Jumaat lalu susulan laporan dibuat kakitangan kaunter pertanyaan Kementerian Ekonomi, memaklumkan menerima satu panggilan jam 9.10 pagi dari sebuah syarikat penghantaran.

Katanya, kakitangan lelaki itu memaklumkan syarikat penghantaran terbabit memberitahu terdapat satu bungkusan di atas nama Rafizi dan Anwar di hab Pulau Meranti, Dengkil.

“Berdasarkan maklumat, bungkusan itu disyaki mengandungi barang terlarang mengandungi daun ganja. Jadi, perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Menteri Ekonomi, Rashidi Ruskin.

“Kira-kira jam 6.30 petang hari sama, pengadu bersama dua anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sepang telah ke hab syarikat penghantaran itu dan merampas barang berkenaan,” katanya melalui satu kenyataan, semalam.

Wan Kamarul berkata, barang dirampas ialah kotak warna coklat ditampal dengan nama penerima, Mohd Rafizi Ramli dan Anwar Ibrahim beralamat di Menara Prisma, No 26, Persiaran Perdana, Presint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Katanya, kotak itu memuatkan satu tiub ubat gigi berpenutup warna hijau dan putih bercorak daun ganja tertera tulisan ‘Happy Green’, mengandungi pes putih kehijauan disyaki ubat gigi estrak daun ganja seberat 80 gram.

Katanya, hasil siasatan mendapati barangan terbabit dibeli oleh pengirim melalui platform e-dagang secara dalam talian dari Indonesia.

“Siasatan mendapati barang yang dirampas tidak mempunyai kaitan dengan penerima dan siasatan lanjut akan diteruskan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Image

Image

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata beliau tidak tahu-menahu mengenai bungkusan ganja misteri yang dihantar ke alamatnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.

Rafizi menyifatkan tindakan oleh individu yang tidak dikenali itu hanya ‘membuang duit’.

“Tak ada lah saya tak tengok pun, orang hantar ganja, polis ambil lah. Buang duit sahaja hantar ganja dekat saya, saya tak ambil ganja.

“Saya tak tahu, ia dihantar ke ofis di bawah alamat Perdana Menteri dan saya,” jelas Rafizi.

Tambahnya, beliau dan Perdana Menteri tidak mengambil ganja, sebaliknya menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

“Kami berdua tidak ambil ganja, jadi saya rasa itu membazir. Sudah tentu ia dihantar ke balai polis,” jelasnya ketika ditanya mengenai bungkusan misteri yang dilaporkan pada Isnin.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Pemudah di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sumber : Berita Harian, Astro Awani

 

Share.

Leave A Reply