Ingatkan Rumah Mewah, Rupanya Kandang Lembu | Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan sebuah rumah yang kelihatan mewah jika dilihat dari luar, namun ia sebenarnya sebuah kandang lembu, lapor program berita Liputan6 semalam.
Rumah terletak di Madura, wilayah Jawa Timur itu menempatkan lima ekor lembu yang digunakan dalam pertandingan lumba lembu.
Berdasarkan klip video yang dikongsikan di laman TikTok, seorang lelaki menunjukkan keadaan rumah tersebut yang kelihatan mewah di bahagian luar.
Lelaki berkenaan berkata bahawa ketika berkunjung ke Madura, saya berhenti seketika dan kagum melihatkan rumah gah dan begitu mewah sekali. Belum selesai berasa kagum, kediaman itu rupa-rupanya menempatkan beberapa ekor lembu.
Tambah lelaki tersebut, lembu-lembu dibela itu berharga hingga berbilion-bilion rupiah.
Lelaki berkenaan juga berkata, ada lembu itu pernah menjadi juara beberapa kali sehingga memberi pemiliknya peluang mendapat hadiah kereta.
Menurutnya, penduduk Madura memiliki rumah yang mewah namun, bukan untuk dijadikan tempat tinggal sebaliknya, dijadikan kandang lembu.
Katanya, jadi, jangan bangga menjadi orang kaya. Orang Madura lebih gila kerana rumah mewah dibina untuk lembu.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
Seorang netizen berkata ya, wajarlah membina rumah untuk lembu kerana lembu-lembu itu dapat ‘membawa pulang’ kereta, rumah dan perbelanjaan percutian. Madura amat hebat.
seorang pengguna lain berkata, lembu bukan sebarang lembu.
Sumber: Kosmo
Artikel Lain
“Rumah Usang Tapi Dalam Macam Istana”
Luaran rumah penternak ikan ini mungkin kelihatan usang, malah tiada juga perabot mewah yang melengkapkan hiasan dalaman.
Namun bagi Ahmad Mokhtar Taib, 32, dan isteri, Mariyah Ghazali, 32, kesederhanaan itu membahagiakan mereka, selain sentiasa rumah itu bersih serta terjaga agar indah di mata.
Kesungguhan pasangan berkenaan menghias rumah sungai mereka mendapat pujian netizen selepas Mariyah berkongsi gambar dekorasi ruang dalaman kediaman itu di Facebook (FB).
Menurut Ahmad Mokhtar, rumah sungai yang terletak di Kampung Gong Tepas itu asalnya rumah rehat yang dibina bersebelahan sangkar ikan ternakannya, sebelum mereka bersama anak, Ahmad Mujahiddin, 4, mendiaminya pada akhir 2018.
“Saya dan isteri berkahwin pada 2013 dan rumah itu sudah ada sejak saya bujang lagi, tetapi tidak didiami kerana sekadar menjadi tempat rehat.
“Lagipun, kami pernah menetap di Kedah beberapa tahun, jadi ia terbiar begitu sahaja. Kami sepakat berpindah ke situ selepas pulang ke sini, empat tahun lalu.
“Asalnya tidak banyak barang dalam rumah, tetapi kami mula hias sedikit demi sedikit apabila berpindah masuk,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Ahmad Mokhtar, kerja menghias lebih banyak dilakukan Mariyah dan dia sekadar membantu pada waktu terluang.
Katanya, barang hiasan banyak dibeli daripada kedai barang keperluan yang menjual pada harga murah dan semua dibeli secara berperingkat.
“Isteri suri rumah sepenuh masa, jadi dia yang banyak habiskan masa hias rumah kami. Tiada rujukan atau tengok YouTube, sebaliknya kami cuba hias gunakan bahan yang ada, kebanyakannya yang murah, kecuali tikar getah, manakala kertas dinding ambil masa lama untuk dipasang.
“Ikutkan, rumah kami tiada ruang dapur atau bilik tidur tetapi kami cuba cipta ruang berkenaan mengikut kreativiti sendiri. Semua kerja menghias banyak dilaksana ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu,” katanya.
Biarpun tidak mampu memberi kemewahan kepada keluarga kecilnya, Ahmad Mokhtar bersyukur kerana dapat menyediakan tempat berteduh buat isteri dan anak.
“Saya tenang walaupun duduk di atas sungai dan anggap ia rezeki apabila dapat tinggal dekat dengan alam semula jadi.
“Tak sangka juga ramai suka suasana dan persekitaran di sini selepas tular gambar rumah saya.
“Alhamdulillah, setakat ini semuanya dalam keadaan baik cuma biasalah, rumah akan bergoyang apabila angin kuat tetapi belum pernah lagi dibawa arus,” katanya yang mengikat rumah atas air itu pada sangkar dan diapungkan dengan tong.
Ahmad Mokhtar tidak menafikan ada menyimpan impian untuk menyediakan rumah yang lebih selesa buat isteri dan anaknya di atas tanah.
Katanya, dia sedang mengumpul duit untuk membeli aset itu, memandangkan pendapatan hasil ternakan ikan baru kembali stabil.
“Banyak cabaran ketika PKP lalu, antaranya ikan banyak mati jadi pendapatan terjejas,” katanya yang sudah menjadi penternak ikan sejak lebih 12 tahun lalu.
Rata-rata netizen memuji sikap pembersih yang ada pada pasangan ini, sehingga ada yang rasa cemburu dengan dekorasi rumah mereka.
“Kemas dan bersih. Terbaikkk. Suasana mesti tenang kan,” @Sue Karim.
“Bahagia cara kita. Tak perlu ikut orang yang penting kita selesa dengan kehidupan kita,” @Rospariza Derahman.
“Cantik2 dan bersih je nampak. Miskin ke kaya ke yang penting sama2 bahagia dan muafakat. Jangan senang je nak susah taknak. Semoga bahagia hingga hujung nyawa,” @Rosma Watie.
“Very very nice, syukur dengan nikmatnya walaupun kecil, yang penting ianya berkat dan selesa,” @Nor Fajariah.
Sumber: Harian Metro