Ini Ulasan Pakar Bahasa Untuk ‘Mengajar’ Menteri Indonesia Tentang Asal Usul Bahasa Indonesia | Kenyataan seorang menteri di Indonesia cuba menafikan bahasa Indonesia sebenarnya sebagai bahasa Melayu ditempelak seorang pakar bahasa universiti tempatan.
Malah, Prof. Datuk Dr. Abdul Muati Ahmad dalam nada sindiran mempersoalkan apakah penduduk republik itu langsung tiada apa-apa bahasa pun sebelum wujud bahasa Indonesia?
“Sama ada menteri tersebut mahu mengaku atau tidak, bahasa yang mereka pertuturkan itu hari ini adalah bahasa Melayu. Apakah sebelum wujud Indonesia, mereka tidak berbahasa? Atau pun mereka hanya menggunakan bahasa isyarat?” Soalnya secara sinis menerusi hantaran dalam akaun sosial rasmi beliau yang turut tular sehingga meraih lebih 2,500 tanda suka.
Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi di Universiti Putra Malaysia itu merujuk ulasan biadab Menteri Pendidikan Indonesia, Nadiem Makarim enggan mengiktiraf bahasa Melayu.
Ahli politik itu dengan angkuh menyifatkan bahasa Indonesia lebih layak diangkat sebagai bahasa rasmi ASEAN konon ia lebih luas diguna dan diajar pelbagai institusi seluruh dunia.
Pandangan sempit itu turut ditempelak Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim kerana bahasa Melayu bersifat rentas sempadan dan bukan milik eksklusif negara tertentu.
Mengulas lanjut, Abdul Muati berkata, ada banyak buku pernah diterbitkan pada era 1940-an di Batavia, nama asal Jakarta sebelum merdeka, merujuk bahasa Melayu dituturkan penduduk.
“Antaranya judul Peladjaran Bahasa Melajoe pada 1941 yang membuktikan bahawa bahasa digunakan mereka itu sebenarnya bernama bahasa Melayu sebelum ditukarkan nama,” katanya.
Beliau dengan tegas berkata, menteri itu wajar menerima hakikat sejarah bahasa Melayu tetap bahasa Melayu meskipun digunakan di Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei dan Thailand.
“Amalan orang Barat yang bertutur bahasa Inggeris di luar Britain tetap akan mengaku ia ‘English language’ walaupun di Amerika Syarikat, Australia atau New Zealand. Justeru bahasa asal yang dipertuturkan di seantero alam Melayu sejak ratusan tahun dahulu adalah bahasa Melayu dan hakikat ini tidak pernah pun berubah dari segi fakta sejarah,” katanya.
Perkara ini turut diakui Rais apabila mengimbau bahasa Indonesia cuma ada setelah timbul Sumpah Pemuda pada 1928 yang hanya dilaksanakan setelah kemerdekaan pada 1945. Konsep kenegaraan itu lebih bersifat politik bagi penyatuan pelbagai etnik di republik tersebut dengan bahasa tunggal berdasarkan populariti bahasa Melayu sendiri yang mudah difahami.
Apatah lagi, kaum-kaum lain di luar pulau Jawa pun dikatakan tidak mahu menerima bahasa Jawa yang diperjuangkan nasionalis sebagai bahasa rasmi bagi Indonesia setelah merdeka.
Sumber: Utusan