Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti punca guru bersara awal dan penjelasan mengenai isu berbangkit akan dijelaskan dalam masa terdekat.

Isu Guru Bersara Awal. Ini Tindakan Bakal Diambil KPM

Menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata berdasarkan data KPM, maklumat berhubung pola guru bersara awal antara 2017 sehingga 2022 hampir sama.

Justeru, katanya KPM akan menentukan apakah pendekatan yang paling sesuai bagi menangani isu guru bersara awal.

Jelasnya, KPM melihat trend guru bersara awal sama sejak 2017 dan bukan naik mendadak kebelakangan ini.

Namun menurutnya, KPM akan meneliti pendekatan yang lebih sesuai untuk memastikan isu guru bersara awal dapat diselesaikan.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam satu kenyataan pada 18 April lalu menganggarkan, lebih 10,000 guru membuat pilihan bersara awal setiap tahun kebelakangan ini, jauh melebihi statistik KPM.

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding yang dikeluarkan KPM pada 9 November 2021 iaitu sebanyak 4,360 permohonan persaraan pilihan dibuat oleh guru bermula Januari tahun sama.

Sementara itu, mengulas mengenai guru yang suka melakukan rakaman video secara langsung semasa mengajar dalam kelas, Radzi berkata, pihaknya sudahpun memaklumkan kepada guru supaya tidak berbuat demikian.

Justeru, beliau berkata KPM akan mengeluarkan satu notis makluman kepada guru berhubung etika sewaktu mengajar.

Jelasnya, ada guru yang rakam secara langsung ketika mereka mengajar dalam kelas. Ia diperincikan di peringkat kementerian membabitkan guru dan murid.

Beliau memaklumkan sedang memperincikan apa pendekatan paling sesuai dan mereka pun sudah maklumkan kepada guru supaya elak berbuat demikian.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply