Jijik! Bulu Binatang Dan Najis Tikus Bertaburan, Kilang Kicap Dan Roti Diarah Tutup | BUTTERWORTH: Bukan saja kotor malah bulu binatang, ranting kayu dan daun kering ditemui di dalam bekas pemerapan soya di sebuah kilang memproses kicap di Bagan Lebai Tahir di sini, semasa ‘Ops Bersih’ yang dijalankan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKN) hari ini.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata, semasa pemeriksaan, pihaknya mendapati bekas tong kicap gentian kaca yang tidak bersih serta berkulat digunakan pengusaha kilang terbabit sejak 20 tahun lepas.
Mohd Wazir berkata, pemilik premis berkenaan sudah menjalankan perniagaan hampir 50 tahun namun didapati gagal mematuhi aspek kebersihan yang digariskan JKN.
“Kita risau pencemaran fizikal mungkin masuk dalam (bekas) sos dan boleh sebabkan keracunan, selain itu ada juga ranting kayu daun dan bulu binantang dan tidak mustahil najis burung (jatuh) berlaku pada proses pemerapan tesebut,” kata Mohd Wazir.
Selain itu, Mohd Wazir berkata, pemilik juga didapati mengitar semula botol terpakai dengan mengisi kicap yang baru diproses sebelum dipasarkan di negeri itu.
Menurut beliau, pemeriksaan yang dilakukan turut mendapati botol kosong itu dibersihkan sendiri serta tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Sementara itu, pemeriksaan di sebuah kilang roti di Raja Uda di sini, pula menemui najis tikus bertaburan di lantai dan bekas pembakar roti yang sudah lama tidak digunakan.
Bahkan, kata Mohd Wazir, terdapat juga kesan minyak lama di dulang roti dan keadaan yang tidak bersih itu dibimbangi akan berlaku pencemaran mahupun keracunan makanan.
“Kilang roti ini sudah beroperasi sejak enam tahun lalu. Kita risau, terdapat najis tikus terlalu banyak dan masih basah lagi… ini bermakna (najis tikus) itu masih baru lagi. Kita juga lihat pengusaha tidak mengamalkan jaminan keselamatan,” terang beliau lagi.
Susulan kilang memproses kicap dan roti itu tidak mematuhi peraturan kebersihan, JKN mengarahkan kedua-dua premis itu ditutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983, Peraturan-peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Sebanyak sembilan notis juga telah dkeluarkan dengan nilai kompaun keseluruhan mencecah RM9,000.
Seramai 26 anggota terdiri pegawai JKN, dan Pegawai penguatkuasa Bahagian Perlesenan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) terlibat dalam ops yang dijalankan bermula pukul 10 pagi itu.
Sumber: Astro Awani