Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan akan memperluaskan penggunaan dron dalam setiap operasi penguatkuasaan pada masa akan datang terutama pada musim perayaan.

JPJ Perluas Penggunaan Dron Pantau Kesalahan Pengguna Jalan Raya

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, ini kerana penggunaan alat berkenaan dilihat lebih efisien dalam memantau kesalahan pengguna jalan raya selain lebih selamat dan tidak memerlukan keanggotaan yang ramai.

Menurutnya, ia terbukti apabila kali pertama digunakan pada Op Hari Raya Aidilfitri 2022 dengan menumpukan kawasan lebuh raya dan jalan-jalan utama di negeri ini.

Jelasnya, sebanyak dua dron digunakan di kawasan lebuh raya yang tertumpu kepada kesalahan penggunaan lorong kecemasan manakala di jalan utama bagi mengesan kesalahan melanggar lampu isyarat merah dan memotong barisan.

Katanya lagi, seramai tiga anggota JPJ ditempatkan bagi mengawal dron dengan dibantu unit peronda bermotosikal.

Menurutnya, sebanyak 30 notis saman dikeluarkan menerusi pemantauan dron.

Sehubungan itu katanya, JPJ Negeri Sembilan bercadang menambah lima lagi dron untuk tujuan penguatkuasaan.

BEliau juga berkata akan berbincang dengan Akademi JPJ Malaysia untuk menghantar pegawai JPJ negeri ini menjalani latihan mengendalikan dron dengan baik.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 316 kesalahan utama dikesan JPJ Negeri Sembilan sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri 2022 yang bermula 29 April hingga Ahad.

Menurutnya, daripada jumlah itu kesalahan tertinggi ialah memotong barisan iaitu 149 kes, diikuti melanggar lampu isyarat merah (92), memandu di lorong kecemasan (32) dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu (6).

Jelasnya, bagi mengesan kesalahan dilakukan pemandu bas, JPJ turut membuat penyamaran sebagai penumpang di 18 buah bas.

Beliau mendakwa, didapati, masih ada segelintir pemandu bas yang melanggar peraturan ditetapkan yang mana dua didapati menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan satu memandu dengan tidak wajar.

Tambah beliau, secara keseluruhan JPJ Negeri Sembilan telah memeriksa sebanyak 2,010 kenderaan sepanjang operasi tersebut dengan 610 buah kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply