Insiden kecuaian seorang jururawat di Hospital Muhammadiyah Palembang (RSMP) di Indonesia sehingga menyebabkan jari kelingking seorang bayi putus mencetuskan kemarahan orang ramai, lapor laman berita Suara.com.
Mangsa dibawa ke hospital akibat demam panas, manakala kejadian itu terbongkar apabila ibu bapa mangsa membuat laporan ke Pusat Khidmat Bersepadu Polis Kota Palembang.
Suparman, 38, mendakwa seorang jururawat berinisial DN cuai sehingga menyebabkan bayinya mengalami kecacatan kekal. Jari kelingking mangsa terpotong ketika proses menukar saluran terapi intravena (IV).
Doktor Tertinggal ‘Sesuatu’ Dalam Usus Pesakit
Sepasukan pakar bedah di Brazil secara tidak sengaja meninggalkan sebilah gunting di dalam badan seorang ahli politik tempatan semasa melakukan pembedahan, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Kejadian tersebut berlaku pada 20 Januari lalu selepas Cleyton Jose Zanatta yang merupakan ahli majlis perbandaran Nova Santa Helena di negeri Mato Grosso, dimasukkan ke hospital di Colider.
Dia berada di hospital untuk menjalani pembedahan mengeluarkan tumor daripada ususnya, demikian menurut laman berita Newsflash.
Walaupun pembedahan berjalan lancar, Zanatta menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena apabila dia berasa sakit selama enam hari selepas pembedahan berlangsung.
Ahli Parti Demokrasi Sosial Brazil itu kembali ke hospital yang sama di mana imbasan CT mendedahkan sebilah gunting besar berada di dalam ususnya.
Pakar bedah dilaporkan bahawa tertinggal gunting itu semasa menjahit luka pesakit.
Mereka kemudian telah melakukan satu lagi pembedahan untuk mengeluarkan gunting itu, manakala Zanatta kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil, demikian menurut pasukan penjagaan kesihatannya.
Sumber: KMN