Kanak-Kanak 10 tahun Gembira Terima Kewarganegaraan | Sebagai seorang manusia perkara yang paling mengembirakan manusia adalah berbeza-beza sama seperti adik ini apabila hal yang paling mengembirakannya ialah mendapatkan kewarganegaraan setelah menunggu hampir tiga tahun.

Kanak-Kanak 10 tahun Gembira Terima Kewarganegaraan

Batu Pahat: Setelah menunggu selama hampir tiga tahun akhirnya penantian Muhammad Rahul Danish Abdullah, 10, mendatangkan perkhabaran yang gembira apabila ia menerima taraf kewarganegaraan Malaysia, sekaligus membolehkannya meneruskan sesi persekolahannya yang tertangguh.

Kanak-kanak tersebut menganggap bahawa ini rezeki di bulan Ramadan selepas ibu angkat, Nur Armirasari Baharin,36, yang telah memeliharanya sejak berusia dua bulan, berusaha mendapatkan taraf kewarganegaraan bagi membolehkannya menjalani kehidupan yang sempurna sama seperti rakyat negara ini.

“Alhamdulillah, saya menerima khabar gembira ini pada minggu lalu selepas lebih tiga tahun ‘turun naik’ berurusan di Pejabat Pendaftaran Daerah, Negeri dan Putrajaya bersama-sama ibu.

“Saya harap selepas sah menjadi warganegara Malaysia dan Mempunyai MyKid sendiri nanti, saya dapat meneruskan sesi persekolahan yang tertangguh sejak tiga tahun lalu.

“Disebabkan tiada pengesahan kelahiran di negara ini, saya tidak bersekolah selama ini,” katanya ditemui ketika lawatan dan berbuka puasa Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong di kediamannya di Taman Mewah, Yong Peng dekat sini, semalam.

Mohammad Rahul berkata, dia tidak sabar ke sekolah dan belajar bersungguh-sungguh untuk mengejar cita-citanya untuk menjadi seorang ustaz.

Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan pula berkata, usaha pihaknya membantu mendapatkan taraf kewarganegaraan kanak-kanak itu dilakukan sejak dia berusia tujuh tahun lagi, tetapi tertangguh selepas pertukaran kerajaan yang menyebabkannya tidak dapat meneruskan usaha tersebut.

“Kanak-kanak itu sememangnya layak mendapat taraf warganegara kerana dilahirkan di Malaysia, namun kerana kegagalan mendaftar ketika kelahiran membuatkan beberapa keistimewaan tidak diperoleh,” katanya.

Sementara itu, Nur Amirasari berkata, Muhammad Rahul diberikan oleh ibu kanak-kanak terbabit yang juga merupakan kenalannya seorang warga Indonesia ketika usianya dua bulan.

“Saya dan suami, Abd Rahman Mohidin,48, amat menyayangi Muhammad Rahul dan menganggapnya anak sendiri keran kami berdua tidak mempunyai anak, malah kehadirannya menjadi penyeri hidup kami sekeluarga.

“Pada awalnya kami bingung memikirkan masa depan Muhammad Rahul yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri hingga menyebabkannya tidak diterima memasuki sekolah bantuan kerajaan.

“Susulan itu, kami menghantarnya ke sekolah tahfiz berhampiran, sekurang-kurangnya dia mendapat pendidikan asas,”katanya.

Nur Armirasari berkata, dia dan suami akan segera membuatkan MyKid untuk Muhammad Rahul serta mendaftarkannya ke sekolah bagi membolehkan kanak-kanak itu menerima pendidikan formal di negara ini.

Sumber: Berita Harian

 

Share.

Leave A Reply