Kejam! 6 Singa Mati Diracun Dan Dikerat di Afrika | Pihak berkuasa Uganda menemui 6 bangkai singa yang telah dikerat anggota badannya secara kejam di Taman Negara Queen Elizabeth, baru-baru ini.
Lembaga Hidupan Liar Uganda (UWA) berkata, mereka mengesyaki bahawa haiwan tersebut telah diracun oleh pemburu-pemburu haiwan sebelum anggota badannya dikerat kerana beberapa ekor burung nasar yang telah memakan dagingnya juga turut ditemui mati di kawasan berhampiran.
“Kami amat sedih melihat kematian sekumpulan singa berkenaan kerana mereka memiliki kebolehan untuk memanjat pokok di taman negara tersebut”, kata salah seorang pihak berkuasa yang bertugas.
Menurut Pengurus Komunikasi UWA Bashir Hangi, beberapa anggota haiwan yang dikerat tersebut telah hilang, mereka tidak menolak kemungkinan bahawa ia mungkin membabitkan kumpulan perdagangan haram hidupan liar.
“Siasatan sudah dimulakan dengan penubuhan beberapa kumpulan penyiasatan yang akan bekerjasama dengan pihak polis tempatan bagi mengetahui perkara sebenar yang berlaku kepada haiwan-haiwan malang berkenaan”, katanya lagi.
Aktiviti penyeludupan sudah lama berlaku termasuklah aktiviti penyeludupan haiwan liar secara haram serta pemburuan haram yang dijadikan sebagai hobi telah menyumbang kepada pengurangan mendadak jumlah haiwan liar seperti singa di benua Afrika.
Taman negara tersebut turut berkongsi sempadan dengan Taman Negara Virunga iaitu terletak di Republik Demokratik Congo, yang menjadi habitat spesis terancam seperti gorila gunung serta diketahui merupakan tempat pengoperasian kumpulan pemburu haram tersebut.
“Kini, terdapat kira-kira 20,000 ekor singa yang tinggal dan hidup di Afrika, berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu sekitar 200,000 ekor singa”, menurut laporan media lagi.
Sumber: Astro Awani