Kemungkinan PRU15. Ini Pengumuman Terkini Pengerusi SPR | Ekoran politik Malaysia yang celaru dengan terbaru tiada sidang Dewan Rakyat 2hb Mac ni, ini pengumuman terkini Pengerusi SPR yang ditunggu ramai.

SPR Sudah Sedia Jika Ada PRU Tergempar

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berada dalam keadaan siap sedia sekiranya berlaku pilihan raya umum tergempar.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, SPR akan melaksanakan tugas-tugasnya mengikut Perlembagaan.

“Kita kena tunaikan tanggungjawab (melaksanakan pilihan raya) itu mengikut peruntukan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya Parlimen dibubarkan, pilihan raya perlu dilakukan dalam tempoh 60 hari.

“Kalau dibubarkan, perlu diadakan pilihan raya dalam tempoh tersebut,” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika diminta mengulas mengenai kesiapsiagaan SPR menghadapi pilihan raya sekiranya sidang khas Dewan Rakyat bagi menentukan majoriti tidak menemui jalan penyelesaian terhadap kemelut politik tanah air.

Azhar turut menjangkakan pilihan raya kali ini akan memakan belanja melebihi kos Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang ini.

Ini kerana katanya, SPR telah melakukan penambahbaikan dengan menambah saluran di setiap peti undi bagi memudahkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka.

“Saya sudah adakan saluran khas, tambah saluran supaya orang kurang upaya (OKU), warga emas supaya mereka tidak perlu menunggu lebih lama.

“Di PRK Kimanis, pengundi disediakan kerusi, khemah, pendingin hawa malahan ‘buggy’ untuk membawa pengundi OKU, warga emas.

“Jadi ini sudah tentu memakan belanja. Saya tidak dapat perincikan jumlahnya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, SPR akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk parti- parti politik semasa untuk menggalakkan pengundi keluar mengundi.

“Kita akan bersama-sama Jabatan Penerangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tujuan ini,” katanya.

Beliau berkata, usaha akan digandakan memandangkan wujud kebimbangan terhadap risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19).

“Rakyat tidak berani keluar seperti dahulu dan kalau KKM beri galakan dan jaminan, tiada apa yang perlu dirisaukan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan satu sidang khas di Dewan Rakyat akan diadakan bagi mengenalpasti majoriti untuk menentukan pentadbiran negara.

Sekiranya sidang khas itu gagal, satu pilihan raya akan diadakan.

UMNO Dan PAS Dah Sedia PRU15

UMNO dan Pas mengerahkan jentera di seluruh negara untuk menggerakkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan langkah berkenaan selari pendirian Muafakat Nasional supaya mandat diberi kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.

“Ibu pejabat parti sudah keluarkan arahan untuk jentera PRU di semua peringkat bersiap-siaga, selari keputusan kita memohon Parlimen dibubarkan.

“Walaupun tidak tahu apa keputusan Istana Negara, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) buat percaturan supaya semua bersiap sedia,” katanya,

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat khas membabitkan kepimpinan UMNO di seluruh negara di Ibu Pejabat UMNO di sini hari ini.

Menurutnya, jentera juga akan diberi garis panduan mekanisme kerjasama dalam Muafakat Nasional bagi berdepan PRU15.

Kelmarin, UMNO dan Pas dilaporkan mencapai kesepakatan supaya Parlimen dibubarkan, dengan syor berkenaan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah.

Syor berkenaan disifatkan sebagai keadilan terbaik bagi sistem demokrasi sekali gus menyaksikan keperluan mengembalikan mandat kepada rakyat bagi menyelesaikan kemelut politik melanda negara ketika ini.

Sementara itu, Annuar berkata, sebarang keputusan kerajaan Johor menerusi institusi diraja berhubung pertukaran tampuk pemerintahan wajar dihormati.

“Tiada komen, kita mesti hormati,” katanya ringkas sebagai mengulas langkah gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas meraih majoriti 28 kerusi serta mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply