Kenaikan Gaji Minimum. Ini Saranan Dari MTUC Buat Ramai Setuju. | PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Putrajaya menaikkan gaji minimum pada suku kedua tahun ini dan bukannya akhir tahun.

Kenaikan Gaji Minimum. Ini Saranan Dari MTUC Buat Ramai Setuju.

Timbalan Presiden MTUC Effendy Abdul Ghani berkata walaupun rancangan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 itu disambut baik namun beliau mempersoalkan mengapa ia dilaksanakan menjelang akhir tahun.

Menurutnya, kenaikan itu perlu dilakukan selewat-lewatnya pada suku kedua 2022.

Jumaat lalu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata gaji minimum “sekitar RM1,500 sebulan” dijangka akan dilaksanakan sebelum akhir tahun 2022, walaupun kadar baharu itu belum dimuktamadkan kerana kementeriannya sedang menunggu kelulusan Jemaah Menteri.

Effendy berkata Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) tiga pihak yang melibatkan pekerja, majikan dan kerajaan pusat masih belum mengadakan pertemuan sejak pertukaran kerajaan pada 2020.

“Kami menggesa kerajaan mengadakan perbincangan tiga pihak di antara pekerja, majikan dan kerajaan mengenai isu kenaikan gaji minimum.

“Baru-baru ini, FMT melaporkan mengenai kenaikan harga makanan asas semakin melepasi gaji minimum, yang menunjukkan mengapa kenaikan ini perlu dilakukan secepat mungkin.

“(Kenyataan Saravanan) memenuhi sasaran kami iaitu RM1,500, yang menjadi cadangan kami selama ini kepada kerajaan. Tetapi ia agak terlambat untuk menaikkannya pada akhir tahun. Kita perlu bincang untuk melaksanakannya pada suku pertama atau kedua tahun ini,” katanya.

Effendi juga mempersoalkan pandangan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang mempertikaikan bahawa kenaikan itu akan “membunuh perniagaan” selepas mengalami kejutan ekonomi akibat pandemik dan banjir baru-baru ini.

Menurutnya, alasan MEF itu sama seperti yang pernah disuarakan ketika Putrajaya memperkenalkan gaji minimum pada 2012 apabila ia memberi amaran bahawa langkah itu akan memaksa ramai majikan kecil menutup perniagaan mereka.

Beliau mempersoalkan berapa banyak sebenarnya syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terpaksa menutup perniagaan akibat pelaksanaan gaji minimum itu.

“Kos sara hidup semakin tinggi sekarang. Ini adalah masanya kerajaan melalui NLAC membincangkan gaji sara hidup dan beralih dari gaji minimum.”

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply