Kerajaan dilaporkan belum membuat keputusan berkaitan pemberian vaksin COVID-19 secara berkala atau berterusan, termasuk kepada kumpulan berisiko tinggi.
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, keputusan kerajaan mengenai perkara itu adalah bergantung pada syor Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) yang membuat penilaian data saintifik daripada pelbagai sumber dari dalam dan luar negara atau data secara berterusan.
Menurutnya, hal ini termasuk mengambil kira syor daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan agensi kesihatan antarabangsa yang lain.
Ia bagi menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang ingin mengetahui sama ada suntikan dos penggalak akan menjadi norma baharu dan semua rakyat perlu mengambil suntikan itu setiap enam bulan.
KKM juga memaklumkan, dasar bagi pemberian imunisasi COVID-19 sama ada untuk siri vaksin utama mahupun dos penggalak adalah berdasarkan syor TWG bagi pemilihan dan pemberian vaksin.
Selain itu, katanya, pemberian vaksin itu juga merujuk keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dan Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 bagi vaksin dos penggalak (CITF-B).
Sementara itu menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai statistik aduan rakyat berhubung kesan negatif terhadap kesihatan selepas menerima suntikan dos penggalak pula, KKM berkata, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) menerima 25,445 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI).
Katanya, pelaporan AEFI dalam kalangan penerima dos penggalak direkodkan berjumlah 1,275 bersamaan kadar 89 laporan bagi setiap sejuta dos.
Jelasnya, ini adalah lebih rendah daripada kadar keseluruhan pelaporan AEFI (381 bagi setiap sejuta dos). Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, hanya 90 laporan (7.06 peratus daripada jumlah laporan AEFI diterima bagi dos penggalak) diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar 6.3 laporan bagi setiap juta dos.
Tambahnya, NPRA telah menerima 45 laporan AEFI membabitkan kematian dalam kalangan penerima dos penggalak yang memerlukan penyiasatan dan penilaian.
Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19 (JFK) telah menjalankan penilaian ke atas 22 laporan yang lengkap penyiasatan dan didapati kematian dilaporkan itu tiada hubung kait dengan vaksin yang diterima.
Katanya, terdapat 23 laporan lagi masih dalam proses penyiasatan sebelum boleh dibentangkan untuk penilaian oleh JFK.
Sumber: Berita Harian