Kerajaan Melaka Benarkan 100 Jemaah Solat Jumaat Mulai Esok

| June 16, 2021 | 0 Comments

Kerajaan Melaka Benarkan 100 Jemaah Solat Jumaat Mulai Esok | Selaras dengan pelaksanaan perintah pergerakan penuh yang telah berkuat kuasa pada 1 Jun sehingga dilanjutkan pada 28 Jun ini, pihak berkuasa agama beberapa negeri telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) solat fardhu dan Jumaat di masjid dan surau masing-masing.

Dengan tujuan untuk mengekang penularan Covid-19 dan bagi mengelak masjid dan surau menjadi lokasi berisiko pencetus kluster, rata-rata SOP yang dikeluarkan hanya membenarkan bilangan jemaah solat yang sangat terhad, sementara aktiviti lain dan pengimarahan ditangguhkan.

Kerajaan Melaka Benarkan 100 Jemaah Solat Jumaat Mulai Esok

Melaka: Kerajaan Melaka melalui Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) membenarkan 100 jemaah solat Jumaat bagi tujuh masjid kerajaan dan 50 orang di masjid dan surau Jumaat di kariah seluruh negeri, mulai esok. Tujuh masjid kerajaan ialah masjid yang ditadbir secara terus oleh Jaim, manakala masjid dan surau Jumaat (surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat) adalah yang ditadbir oleh pengerusi dan ahli jawatankuasa (AJK) dipilih anak kariah masing-masing.

Pengarah Jaim, Datuk Che Shukri Che Mat bagaimanapun berkata, jemaah solat fardu dan solat jenazah kekal 12 orang seperti yang ditetapkan sejak sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan sejak 1 Jun lalu.

“Berdasarkan situasi semasa, Kerajaan Melaka melalui keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Melaka yang bersidang pada 16 Jun 2021 bersetuju mengeluarkan ketetapan baharu berkaitan jumlah maksimum jemaah solat Jumaat,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Bagaimanapun, aktiviti lain di masjid masih ditangguhkan, iaitu majlis bacaan surah Yasin dan tahlil, ceramah agama, akad nikah, kursus, bengkel, jamuan dan gotong-royong.

Beliau berkata, Jaim berhak menarik semula kebenaran itu jika masjid atau surau didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berkaitan pandemik Covid-19.

Sebelum ini, jemaah solat Jumaat dan fardu di masjid di negeri ini dihadkan hanya 12 orang berikutan sekatan pergerakan penuh PKP 3.0 di seluruh negara mulai 1 Jun lalu hingga 28 Jun ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam kenyataannya berkata, sebanyak 152 kes positif Covid-19 dicatatkan semalam, menjadikan keseluruhan kes positif seramai 15,276.

Sumber: Harian Metro

Tags: , , ,

Category: AGAMA, SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *