Kerajaan Pintu Belakang. Ini Titah Sultan Selangor Buat Ramai Setuju.

| March 15, 2020 | 0 Comments

Kerajaan Pintu Belakang. Ini Titah Sultan Selangor Buat Ramai Setuju. | SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan tohmahan berkenaan pembentukan kerajaan pintu belakang atau rampasan kuasa terhadap pentadbiran negara perlu dihentikan.

Baginda bertitah, perkara itu adalah tidak bertepatan sama sekali selain Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sudah diberi kuasa menggunakan budi bicara seperti diperuntukkan dalam undang-undang.

“Baru-baru ini kita melihat perubahan kepada tampuk pemerintahan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan.

“Beta sendiri mengikuti perkembangan perubahan kuasa itu yang dilaksanakan Yang di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14, Shah Alam, hari ini.

Turut berkenaan menghadiri istiadat pembukaan berkenaan ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Sultan Selangor turut menzahirkan harapan supaya ada kerjasama erat antara kerajaan Selangor dengan Persekutuan selain tidak mahu perbezaan tampuk pemerintahan dan ideologi politik menyebabkan rakyat Selangor terpinggir di dalam arus pembangunan ekonomi dan sosial.

“Sebagai Sultan, beta bertanggungjawab untuk menasihati Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian agar tidak melakukan sesuatu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang boleh merugikan rakyat beta.

“Beta sedar, dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, Institusi Raja tidak sepatutnya dilihat terbabit secara langsung dengan isu-isu yang berkaitan dengan politik dan seharusnya kekal sebagai sebuah badan yang mengatasi politik (above politics),” titah baginda.

Sultan Selangor dalam titahnya turut menasihati wakil rakyat agar sentiasa memelihara kestabilan politik dan pentadbiran negeri.

Menurut baginda, rakyat sebenarnya sudah penat dan gelisah melihat pergolakan politik yang melanda negara sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sehingga ke hari ini.

“Ahli-ahli politik dilihat sering kali berbalah di dalam isu-isu politik yang tiada berkesudahan sehingga melupakan tanggungjawab sebenar mereka untuk melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat untuk mentadbir negeri bagi faedah kesejahteraan rakyat.

“Kita semua sedia maklum, betapa rakyat pada ketika ini sedang mengalami kesempitan hidup amat sangat dengan kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat akibat daripada kemelesetan ekonomi dunia, mata wang ringgit yang semakin merudum, peluang pekerjaan yang semakin mengecil mengakibatkan pengangguran meningkat dan terakhir sekali penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia tatkala ini,” titah baginda.

Baginda bertitah, dalam menghadapi krisis dan kemelesetan ini, rakyat memerlukan tumpuan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dalam menyelesaikan segala permasalahan.

Menurut baginda, perkara itu hanya akan dapat dicapai dengan melaksanakan dasar yang boleh memangkin pertumbuhan ekonomi mampan serta menguntungkan rakyat.

“Bukan sibuk berbalah di dalam merebut kuasa dan kedudukan. Wakil rakyat dipilih oleh rakyat untuk bekerja serta berkhidmat membantu rakyat demi memastikan rakyat dapat mencapai kemakmuran serta menikmati kekayaan Selangor,” titah baginda.

Selain itu, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada tentera, polis, bomba serta anggota keselamatan yang bertugas dengan dedikasi bagi memastikan keselamatan rakyat dan negeri terus dalam keadaan aman dan sejahtera.

Sumber : My Metro

Tags: , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *