Kereta Terbalik Ketika Drift Di Genting Highlands Ada 11 Saman Pandu Laju | KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan pemandu kereta yang terbabas dan terbalik ketika naik ke pusat peranginan Genting Highlands, Bentong, dekat sini, seperti dalam rakaman video yang tular, semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata siasatan awal mendapati kereta terbabit dipercayai dipandu secara melulu sehingga terbabit kemalangan.

“Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong sudah mengesan pemandu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan dipanggil ke IPD Bentong untuk tindakan selanjutnya.
“Semakan ke atas kenderaan terbabit juga mendapati ia mempunyai 11 rekod saman, semuanya atas kesalahan memandu melebihi had laju,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Zaiham, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung wujudnya elemen perlumbaan dalam kejadian itu.
“Kita akan siasat elemen itu apabila pemandu terbabit hadir le IPD Bentong untuk dirakam keterangan nanti.
“Dalam pada itu, kita sedang mendapatkan butiran mengenai perakam video berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya.
Zaiham berkata, siasatan mendapati kemalangan kira-kira jam 7.25 pagi, semalam di Kilometer 14.6 Jalan Genting Highlands, Bentong sebelum satu rakaman kejadian itu ditularkan di media sosial.
“Berdasarkan rakaman video yang tular, kereta berkenaan dalam perjalanan dari Serdang, Selangor ke Genting Highlands.
“Apabila sampai di selekoh, pemandu kereta terbabit memotong sebuah kenderaan lain lalu hilang kawalan dan terbabas sendiri di sebelah kiri jalan. Pemandunya terselamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
Menerusi rakaman video yang tular itu, kelihatan sebuah kereta jenis Honda sedang berlumba dengan sebuah kereta lain berdasarkan cara pemanduan yang ditunjukkan kedua-dua kenderaan.

Sebaik kereta Honda itu berjaya memintas kereta di hadapannya di sebuah laluan berselekoh, kenderaan itu dilihat terbabas ke sisi kiri jalan sebelum terbalik.

Sumber: Inforoadblock

Baca Juga: Polis Saman Kenderaan Milik Timbalan Speaker DUN Pahang

Polis Bentong tidak pilih kasih serta tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan dalam menguatkuasakan undang-undang.

TANGKAP layar kesalahan yang dilakukan oleh  kereta yang dipercayai dimiliki orang kenamaan yang telah melanggar undang undang yang viral di laman facebook. FOTO ihsan Pembaca

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya akan menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira status seseorang.

Beliau mengulas gambar sebuah kenderaan yang dipercayai milik Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang yang menyalahi peraturan seperti yang tular dalam Facebook Kami Penduduk Bentong (Official) semalam.

Seorang netizen, Iskandar Azeez Muhammad memuat naik gambar kenderaan mempersoalkan tindakan pihak berkuasa mengenai perkara itu.

Zaiham berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Bentong akan mengambil tindakan sewajarnya atas kesalahan itu.

“Gambar itu menunjukkan kenderaan terbabit keluar dari simpang Golden Court , Jalan Tras Bentong ke jalan utama. Ia melakukan kesalahan, iaitu abai isyarat lalu lintas di mana dengan sengaja masuk di laluan ‘No Entry’.

“Kenderaan terbabit akan disaman di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Beliau meminta agar orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi ke atas insiden itu dan polis tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu yang melakukan kesalahan.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply