“Dia (suspek) sangat baik, pendiam dan tidak bercakap banyak. Sebab itu saya sangat terkejut apabila dia boleh buat macam itu,” kata Rozilan Yusof, adik kepada wanita yang maut dipercayai dibunuh suami sendiri dengan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini, hari ini.
Akibat kejadian, mangsa, Rubiah Sabtu, 41, dilaporkan parah di kepala dan muka.
Rozilan, 38, berkata, biarpun dia dan mangsa berlainan bapa, namun mereka sangat rapat dan sering berkongsi masalah.
Menurutnya, arwah kakaknya ada menghubunginya pada 1.10 pagi tadi untuk meminjam kipas kerana anaknya panas.
Namun, katanya, dia tidak dapat membantu kerana masih bekerja di kedai makan.
Menurutnya, dia habis kerja kira-kira jam empat pagi sebelum balik ke rumah dan tidur.
“Saya dikejutkan dengan panggilan daripada bekas abang ipar (bekas suami mangsa ) kira-kira jam 10 pagi yang memaklumkan kakak mati dibunuh.
“Saya seperti tidak percaya sebelum pergi ke rumah mangsa dan remuk hati melihat kakak sudah tidak bernyawa,” katanya.
Katanya, kali terakhir dia bertemu kakaknya petang semalam dan air mukanya nampak sedih.
“Biasanya kalau ada masalah dia akan cerita pada saya dan saya pun tak tanya kenapa mukanya sedih ketika itu,” katanya memaklumkan kakaknya mengusahakan kedai runcit kecil-kecilan di rumah dan mempunyai enam anak hasil perkahwinan dengan suami terdahulu.
“Hasil perkahwinan dengan suami baru (suspek) sejak tahun lalu dia dikurniakan seorang anak berusia enam bulan.
“Abang ipar (suspek) sangat baik dengan saya dan kami kenal lama kerana tinggal sekampung, dia jenis pendiam sepatah saya cakap, sepatah dia jawab,” katanya.
Menurutnya, dia menafikan abang iparnya itu mengalami penyakit jiwa kerana mengenalinya sangat dekat.
“Dia berkerja sebagai tukang rumah bila balik berkerja dia akan duduk di rumah membantu isterinya termasuk bermain dengan anak-anak.
“Beberapa hari saya tidak berjumpa dengan dia (suspek) dan kejadian hari ini sangat mengejutkan kami,” katanya.
Sumber : Harian Metro
ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA
Lepas Hantar Anak Ke Sekolah, Wanita Dibunvh Suami Sendiri Guna Tukul Besi
Seorang isteri maut akibat dibelasah oleh suaminya dengan tukul besi disyaki akibat cemburu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.00 pagi tadi di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun yang menyebabkan mangsa, 41 tahun, cedera parah di dahi dan muka.
Sebelum kejadian, mangsa baru pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah dan setibanya di rumah pasangan itu mula bergaduh.
Menurut sumber, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan .
Difahamkan, selepas mangsa dibunuh, suspek keluar dari rumah dan pergi ke rumah datuknya yang terletak tidak jauh dari lokasi sebelum memberitahu seorang kakaknya, dia telah membunuh isteri dengan tukul besi sambil menangis dan ketakutan.
Suspek kemudian pulang semula ke rumah sambil menangis melihat isterinya sudah tidak bernyawa terbaring di ruang tamu.
Suspek dilaporkan cuba membunuh diri kerana ketakutan dan dapat dipujuk ahli keluarga dan jiran .
Keluarga suspek kemudiannya menghubungi polis dan memujuk lelaki itu menyerah diri sebelum dibawa ke Balai Polis Bukit Besi.
Pasangan berkenaan dikatakan baru mendirikan rumah tangga, tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 6 bulan.
Mangsa adalah peniaga di kampung berkenaan dan mempunyai enam anak hasil perkahwinan sebelum ini.
Sumber : KMN