Lelaki Dikompaun RM1,500 Cuba Provokasi Polis Dengan Tidak Memakai Pelitup Muka | Peningkatan kes jangkitan COVID-19 yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini adalah berpunca daripada kelalaian masyarakat yang tidak patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Lelaki Dikompaun RM1,500 Cuba Provokasi Polis Dengan Tidak Memakai Pelitup Muka

Sungai Siput: Tindakan seorang pegawai polis tidak melayan provokasi dibuat seorang lelaki ketika pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di hadapan sebuah pasar mini di Kampung Muhibbah di sini, petang kelmarin telah mendapat pujian warganet.

Sikap tenang Ketua Polis Balai Sungai Siput Utara, Inspektor Abdul Wahed Hamid itu terpapar menerusi dua video yang dirakam sendiri oleh lelaki yang cuba membuat provokasi berkenaan sebelum tular di media sosial sejak Ahad.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kompaun RM1,500 turut dikenakan kepada pemilik premis itu kerana gagal memastikan lelaki terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, provokasi terhadap pegawai polis hanya dilakukan oleh pelanggan premis itu namun pemilik kedai akur dengan tindakan kompaun yang turut dikenakan ke atasnya.

“Lelaki berkenaan didapati memasuki pasar mini terbabit untuk membeli minuman keras tanpa mengimbas kod QR MySejahtera atau mencatat butiran diri selain tidak memakai pelitup muka menyebabkan dia ditegur oleh pegawai polis yang sedang melakukan rondaan pemantauan.

Dia kemudiannya telah memberi pelbagai alasan kepada inspektor berkenaan sambil merakam reaksi atau tindakan pegawai polis itu.

“Tindakannya yang bersifat provokasi itu langsung tidak dipedulikan inspektor berkenaan yang juga Ketua Polis Balai Sungai Siput,” katanya ketika dihubungi.

Walau bagaimanapun, Mohd Khaizam berkata, tiada tindakan lanjut yang dikenakan bagi tindakannya itu walaupun rakaman video itu sudah tular di sosial media.

“Saya menganggap perbuatan merakam dan menyebarkan video kejadian itu sebagai sesuatu yang bagus kerana secara tidak langsung beritahu ramai orang bahawa polis akan ambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran SOP selepas ini.

“Tambahan pula, lelaki berkenaan secara jelas mengakui kesalahannya yang tidak memakai pelitup muka. Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan keras selain tidak berkompromi terutama dalam waktu jangkitan Covid-19 mencatatkan angka yang tinggi ketika ini,” katanya.

Terdahulu, dua video yang dirakam lelaki terbabit ditular di Facebook dengan seorang lelaki cuba memprovokasi pegawai polis dikenali sebagai Inspektor Wahed.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply