Lelaki Nekad Bakar Dua Kereta Milik Keluarga Mentua Ditahan |Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah rumah tangga dan bertindak membakar dua buah kenderaan milik ahli keluarga isterinya ditahan semalam, kurang 24 jam dalam kejadian di Kampung Indah, Bahau, Jempol.

Lelaki Nekad Bakar Dua Kereta Milik Keluarga Mentua Ditahan

Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, tangkapan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang ibu tunggal berusia 47 tahun yang juga merupakan ibu mentua suspek pada jam 9.37 pagi Isnin.

Dalam kejadian berkenaan, ibu tunggal tersebut melaporkan bahawa kereta jenis Perodua Kancil dan Satria telah dibakar oleh suspek.

“Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi, ketika mangsa berada di hadapan pintu rumah melihat suspek sedang mencurah minyak ke atas kain lalu membaling kain tersebut ke arah kereta Perodua Kancil dan terbakar di bahagian luar tangki minyak.

“Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran mangsa, suspek bertindak melarikan diri dan pada masa sama sebuah kereta Satria yang berada di garaj turut terbakar,” katanya selepas mengesahkan laporan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Chang Hook berkata, api pada kenderaan itu kemudiannya berjaya dipadamkan oleh anak lelaki mangsa sebelum bertindak membuat laporan polis.

Menurutnya, mangsa mendakwa tidak mengetahui punca menantunya bertindak sedemikian. Namun, bagaimanapun sehari sebelum kejadian dia (suspek) ada berselisih faham dengan isterinya dan isterinya itu telah membuat laporan polis.

“Suspek seterusnya berjaya ditahan pada hari kejadian di tepi jalan sekitar Bahau dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api,” katanya.

Sementara itu, difahamkan kereta Perodua Kancil itu adalah milik ibu kandung mangsa manakala kereta Perodua Satria berkenaan milik kakak ipar mangsa.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply