Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) dilaporkan dikhuatiri lemas dalam kejadian di Kampung Tok Derpah, Alor Pasir, di sini, semalam.

Lelaki OKU Hilang Dikhuatiri Lemas

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Muhamad Faizal Abd Rahman, 20, mengikut ibunya, Che Fatimah Che Kob, 60, membersihkan kedai makan yang dilanda banjir

Katanya lagi, mangsa tiba-tiba dipercayai hilang dan menurut anak saudara mangsa, Nor Ariana Natasha, 12, bapa saudaranya dilihat bermain di kawasan masjid berdekatan yang juga menjadi lokasi banjir.

Difahamkan, keluarga dan penduduk kampung berusaha mencari mangsa di seluruh kawasan namun gagal menemuinya, sebelum datang membuat laporan polis berkenaan kejadian terbabit.

Akhbar sebelum ini melaporkan sebanyak empat individu menjadi mangsa banjir di Kelantan sepanjang bah melanda sejak Jumaat lalu.

Mohd Nasaruddin berkata, pihaknya turut memaklumkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pasir Mas berkaitan kejadian itu untuk misi mencari dan menyelamat.

Jelasnya, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dengan banjir yang melanda selain mengelak daripada bermain air terutama di kawasan arus deras bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Katanya, golongan kanak-kanak juga perlu diberi perhatian kerana kita tidak mahu ada lagi pertambahan kes mangsa banjir di Kelantan.

Sumber: Berita Harian 

Share.

Leave A Reply