Lihat ‘Bendera Putih’. Ini Tindakan Dilakukan ‘Rider’ Buat Ramai SAYU | Sekumpulan penghantar makanan ini ternampak rumah angkat bendera putih, tindakan mereka selepas itu pada keluarga tersebut mendapat pujian. Baca selanjutnya..
Petaling Jaya – Walaupun mereka umpama ‘kais pagi makan pagi’, namun atas keprihatinan dan membantu semasa manusia, sekumpulan penghantar makanan (rider) sanggup bersusah payah mengumpul duit untuk membantu sebuah keluarga.
Menerusi klip video yang dikongsi di laman Tiktok @hunterr02, kelihatan beberapa orang rider melawat sebuah rumah milik seorang lelaki yang telah mengangkat ‘bendera putih’ untuk meminta bantuan.
Berdasarkan klip video berdurasi 47 saat itu, kelihatan kumpulan rider tersebut meminta tuan rumah menyenaraikan barangan yang diperlukan keluarga itu.
Kumpulan rider berkenaan kemudiannya dilihat mengumpul duit sesama mereka sebelum bergegas ke sebuah kedai untuk membeli barangan keperluan seperti telur, beras, mi segera, susu bayi dan pelbagai barangan dapur.
Mereka seterusnya dilihat menyerahkan semua barangan keperluan itu kepada keluarga terbabit.
Bagaimanapun, tidak dinyatakan lokasi tepat mereka menghantar bantuan itu dan bila klip video itu dirakam.
Susulan perkongsian tersebut, rata-rata pengguna laman sosial memuji sikap yang ditunjukkan oleh kumpulan rider tersebut yang sanggup membantu orang lain walaupun mereka juga ada yang dalam kesusahan.
“Alhamdulillah terima kasih kerana membantu mereka, semoga abang-abang semua dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan,” tulis Zaliha Ipoh.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Rosmah Bt. Wah.
“Terima kasih semoga Allah memberi rezeki yang melimpah ruah lagi pada yang membantu,” katanya.
Sumber : Kosmo