Lorong Menyeramkan

| August 9, 2020 | 0 Comments

Lorong Menyeramkan |Aku ada seorang kawan bernama kamal yang tidak percaya dengan kewujudan hantu-hantu atau makhluk ghaib dan sebagainya. Dia ni suka membantah atau lari apabila ada kawan atau sesiapa saja nak yang berkongsi pengalaman seram ataupun misteri. Bukan kerana dia tu takut atau pengecut tetapi memang dia tak pernah percaya makhluk bernama hantu itu wujud.

Tapi dijadikan cerita, 6 bulan yang lepas telah mengubah pemikiran dan pendirian kamal tentang kewujudan hantu dan misteri. Dan akhirnya dia sendiri mengaku bahawa wujudnya alam ghaib. Selama ini dia merasakan rakan-rakan yang lain hanya ingin berkongsi cerita misteri hanya ingin menakut-nakutkan orang lain. Dia turut mengalami kisah-kisah seram seperti rakan-rakan lain ceritakan. Tetapi pengalaman yang di alami oleh kamal sangatlah seram.

Memang kejadian yang menimpa kamal begitu sukar untuk melupakan,bahkan masih segar dalam ingatannya. Kejadian seram itu berlaku di satu lorong sunyi yang terletak tidak jauh dari kilang tempat Kamal bekerja. Sememangnya lorong itu sunyi baginya dan kami rakan sekerja. Dan itulah laluan yang sering digunakan oleh kamal setiap kali pulang dari tempat kerja.

Sebenarnya, Kamal sering melalui jalan lorong sunyi tersebut. Boleh dikatakan hampir 2 tahun dia mengggunakan lorong sunyi itu. Dan dia juga bernasib baik tidak menemukan benda atau sebarang makhluk ghaib dan aneh.

Selama ni apa yang dikongsi rakan-rakan sekerja termasuk aku tentang ada orang pernah terjumpa dengan puntianak, hantu raya dan hantu bungkus serta sebagainya tidak di endahkan oleh Kamal. Walaupun pelbagai cerita seram didengarinya, biarpun sahabat karibnya menegurnya, namun Kamal tetap tidak mempercayainya. Dia tetap menggunakan lorong sunyi itu kerana baginya dia tidak pernah mengalami seperti rakan-rakan lain alami.

Sebenarnya, kamal juga tidak mempunyai pilihan selain jalan lorong itu. Jalan lorong sunyi itu adalah jalan pintas baginya sama ada untuk ke tempat kerja atau pulang ke rumahnya. Kamal seorang pekerja kilang yang masanya tidak tentu menyebabkan ada sesekali dia terpaksa pulang lewat malam kerana dia harus menyiapkan tugasan dahalu. Kadang-kadang, dia terpaksa balik dari kilang sekitar pukul dua pagi.

Dahulu laluan sunyi itu memang menjadi tempat laluan ramai pekerja kilang kerana kawasan itu memang kawasan perindustrian. Tetapi sejak setahun dua kebelakangan ini, pekerja-pekerja kilang sudah jarang menggunakan lorong tersebut berikutan tersebarnya cerita hantu Pontianak dan makhluk halus yang menyerupai budak kecil. Orang lain banyak dah guna lorong sunyi berhantu tersebut, namun Kamal masih tetap menggunakan lorong berhantu itu.

Sehingga pada suatu malam selepas habis bekerja, Kamal terus pulang ke rumah. Tetapi dalam perjalanan pulang ke rumah, Kamal pun singgah terlebih dahulu warung mamak bersama dua rakanya yang lain. Kerana asyik berborak, mereka bertiga lupa hari sudah jauh malam. Jam tangan Kamal sudah mencecah pukul 12:45 tengah malam. Kebetulan juga malam itu malam jumaat. Kedua rakannya pulang ikut laluan jalan besar tetapi Kamal tetap memilih lorong sunyi tersebut.

Walaupun rakannya lain sudah mempelawa kamal untuk menumpang mereka, tetapi kamal lebih selesa balik mengikuti jalan yang sering dia lalui. Jadi tinggallah kamal seorang diri berjalan dan menuju ke lorong yang sunyi itu kerana tidak mempunyai pilihan lain. Kalau dia ikut jalan besar itu sudah terlalu jauh dan dia merasa sudah letih.

Dalam perjalanan pulang, hati kamal tiba-tiba merasa berdebar. Tiba di pertengahan lorong, dia tersentak. Wajah seorang wanita jelas kelihatan di hadapanya. Kamal berhenti seketika. Hati nya mula menggambarkan apa yang diceritakan oleh rakan-rakannya yang lain. Tetapi kamal terpaksa kuatkan semangat. Ketika langkahnya menghampiri sosok wanita tersebut, hidungnya tiba –tiba menghidu bau yang sangat wangi. Tidak pernah dia menghidu bau yang sangat wangi sedemikian sepanjang perjalanan dia melalui lorong tersebut. Tidak mungkin wangian itu turun bersama embun pagi! Getus kamal dalam hati. Segera kamal menutup hidung nya kerana bau wangi itu terlalu menusuk.

Kamal teruskan perjalanannya tanpa memperdulikan wanita yang dihadapanya. Dia menundukkan kepalanya ke bawah. Langkahnya pun dipercepatkan. Semakin dia menghampiri wanita itu, semakin kuat bau wangi itu. Kala itu terlintas difikirannya tentan cerita rakan-rakanya sebelum ini. Kalau terhidu bau wangi, jangan menegur ataupun menghidu bau wangi itu kerana bau itu adalah bau hantu raya!

Teringat dengan cerita itu, kamal pun segera menahan nafas seketika untuk tidak menghidu bau tersebut. Degupan jantung Kamal semakin kencang. Hatinya mulai berdebar-debar. Tak pernah dia mengalami peristiwa sebegini. Kamal sudah mengagak, cerita hantu yang diberitahu oleh rakannya itu memang benar. Kini barulah Kamal tahu bahawa cerita ngeri dan menakutkan ini memang wujud.

Tiba-tiba kamal mendongakkan kepalanya. Entah tidak semena-mena anak matanya mencuri jelling ke arah wanita tersebut. Dalam jelingan itu, Kamal dapat melihat seperti ada satu keganjilan pada wajah wanita itu. Wajahnya putih, bibirnya merah dan rambutnya panjang melepasi bahu. Seluruh bulu roma Kamal berdiri tegak. Dia cuba melangkah tetapi tidak berdaya. Kakinya berasa begitu berat dan matanya terus terpandang wanita itu yang mula bertukar wajah.

Bermula dengan wajah senyum bertukar menjadi bengis dan buruk. Giginya cantik tetiba menjadi tajam dengan susunan yang menyeramkan. Rambut wanita itu mulai mengerbang, disusuli hilaian suara menakutkan yang memecah lorong sunyi itu. Dengan wajah yang menakutkan itu, wanita itu menghampiri Kamal terlalu cepat. Kamal cuba untuk berlari namun kakinya seolah-olah tidak dapat bergerak seperti kakinya di gam. Serentak itu, Kamal pun menjerit sekuat hatinya. Kemudian kamal tidak sedarkan diri.

Keesokan paginya, Kamal ditemui oleh seorang mak cik yang kebetulan melalui lorong tersebut. Setelah mendapatkan bantuan, kamal akhirnya dihantarkan pulang dalam keadaan yang lemah. Melihat kondisinya, Kamal sudah tidak bersemangat lagi. Kamal demam selama seminggu dan menurut ibunya Puan Izzah, Kamal sering kali meracau-racau dalam tidurnya terutama pada sekitar jam 1:00 atau 2:00 pagi.

Akhirnya ibu kamal membawa Kamal berubat dan memulih semangat Kamal dengan berubat dengan pakar perubatan salah seorang ustaz. Dengan izin Allah SWT, Kamal baik sediakala walaupun terpaksa menunggu masa yang agak lama. Sejak peristiwa itu barulah Kamal mempercayai apa yang diceritakan oleh rakan-rakanya yang lain. Dan kini Kamal juga tidak lagi menggunakan lorong berhantu itu.

Sumber: Seram Shit

Tags: ,

Category: DUNIA, SERAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *