7 Hari Tanpa Cintamu

| August 9, 2020 | 0 Comments

7 Hari Tanpa Cintamu | Assalamualaikum. Salam sejahtera. Fenomena 7 hari mencintaiku 2 begitu hot topic sekarang ni. Rata-rata antara kita semua membawang mengenainya. Kisah konflik antara ibu mertua bernama Mak Leha & menantunya Mia.

Saya tak terkecuali dari sebahagian penonton drama ini dan mengikuti
setiap plot ceritanya. Bila menontonnya, terkenang kisah saya beberapa
tahun lalu. Sedang mengandung dan ada sedikit krisis dengan keluarga
mertua. Cuma tidaklah seteruk drama tersebut.

Sejujurnya, di awal perkahwinan keadaan saya dan keluarga mertua
baik-baik sahaja. Selepas mempunyai 2 orang anak saya terpaksa berhenti
kerja.

Anak-anak lahir rapat dan menyukarkan saya bekerja. Bila jatuh sakit
mereka bergilir-gilir sakit dan pernah seminggu lebih saya terpaksa
tidak masuk pejabat.

Keadaan begitu kerap berlaku dan saya juga tidak mahu kerja suami
terganggu ambil keputusan untuk duduk di rumah menguruskan segala
keperluan suami & anak-anak.

Suami pula jenis kuat bekerja langsung tiada tolak ansur dalam urusan
penjagaan anak-anak. Semua terpikul atas bahu saya sepenuhnya.

Suami seorang yang bertanggungjawab, hormat ibu bapa mertua, sayang ibu
dan adik beradiknya, cuma tidak begitu prihatin terhadap saya &
anak-anak, malah tidak romantik langsung berbeza dengan watak Khuzairi
yang terlebih romantik.

Suami saya ni lebih rela buat 2-3 kerja diluar berbanding membantu saya
menguruskan anak-anak.

Setelah hampir setahun berhenti kerja saya disahkan mengandung anak
ke-3. Tanpa dirancang. Sama seperti mengandung anak ke-2 sebelum ini,
juga tanpa dirancang.

Cabaran makin kuat kerana anak rapat-rapat. Saya pasrah dengan rezeki
Allah walaupun sudah berusaha sebaik mungkin untuk menjarakkan kandungan
seterusnya. Kita manusia hanya mampu merancang tapi Allah S.W.T adalah
sebaik-baik perancang!

Due date bayi saya adalah pada waktu keluarga mertua merancang percutian
ke luar negara.

Saya memberitahu dengan baik bahawa kami sekeluarga tiada rezeki untuk
pergi bersama mereka memandangkan due date bayi saya terlalu hampir
dengan tarikh yang keluarga mertua pilih.

Tetapi, ibu mertua seakan mendesak agar kami sekeluarga turut serta.
Siap cakap dengan suami saya, kalau saya tak boleh pergi biarlah anaknya
dan cucu (anak sulung saya) sahaja yang pergi bersama mereka.

Mulanya saya tak kisah sangat dengan permintaannya itu, tetapi terlalu
kerap didesak hingga kadangkala membuat saya tertekan,

Sudahlah saya tengah mengandung, menguruskan anak-anak seorang diri di
rumah tanpa bantuan suami, tiada kawan untuk saya berbual kongsi rasa
suka duka.

Bila pergi ke rumah mertua, ibu mentua saya asyik bercakap perkara yang
sama. Asyik nak ajak anaknya dan cucu menyertai percutian keluarga
sedangkan waktu percutian itu adalah due date bayi saya yang ke-3.

Kalau situasi ini berlaku kepada pembaca, adakah wajar membiarkan
seorang isteri bersalin seorang diri sedangkan suami tiada disisi kerana
pergi bercuti bersama keluarganya ke luar negara?

Nak dijadikan cerita, sebelum ini saya dan anak-anak pernah tinggal
hampir dua minggu bersama keluarga mertua atas sebab-sebab yang tidak
dapat saya ceritakan di sini.

Bila suami pulang ke rumah mertua untuk membawa saya dan anak-anak
pulang semula ke rumah kami, timbul pelbagai cerita mengenai sikap saya
di adukan kepada anaknya itu.

Saya cuma tutup mulut walaupun tidak puas hati dan kecil hati dengan
sikap ibu mentua yang mengadu perkara bukan-bukan kepada anaknya
sedangkan dia tau keadaan yang dialami saya dan anak-anak pada ketika itu.

Berbalik kepada cerita ibu mentua mendesak anaknya dan cucu iaitu anak
sulung saya untuk bercuti bersamanya, saya ada meluahkan rasa tidak
senang dengan sikap ibu mentua kepada suami. Namun, suami cuma membalas,
“kalau awak tak bagi pergi, saya tak pergilah.”

Saya balas, “bukan saya nak halang, cuma tolong fikirkan keadaan saya
yang sedang mengandung dan anak dalam kandungan ni.” Itu saja permintaan
saya. Alhamdulillah, sedikit sebanyak suami faham tentang keadaan saya.

Ketika mengandung, kami sekeluarga memang kerap pulang ke rumah mertua.
Saya ni jenis tak kisah, bagaimana saya layan ibu saya sendiri begitu
juga saya layan ibu mentua saya.

Perangai saya ni bukanlah jenis outspoken macam watak Mia tu, saya baik
hati tak suka bercakap kasar dengan orang yang lebih tua dari saya,

Cuma perangai saya sedikit kasar dan cepat marah kerana saya jenis
protective terhadap keluarga saya memandangkan saya anak sulung
perempuan dalam keluarga.

Jika ada yang tidak kenal rapat dengan saya, mereka memang tidak tahu
perangai saya dan mereka cepat menuduh saya biadap dan kurang ajar.

Sepanjang kehamilan ke-3, adakalanya saya keletihan kerana selain
menjaga anak-anak sendiri saya juga mengasuh dua orang anak asuhan atas
niat ingin mengurangkan beban tanggungan suami terhadap saya dan anak-anak.

Suatu hari, saya dan suami pulang ke rumah ibubapanya. Ibu mentua pesan
supaya minggu depan datang lagi ke rumahnya kerana ada sambutan
ulangtahun kelahiran anak saudara suami.

Caranya sama, tetap mendesak agar kami sekeluarga datang lagi minggu
depan. Saya tak kisah, cuma berkata, “Insha-Allah.”

Pada hari kami nak pulang ke rumah mertua untuk sambutan ulangtahun anak
saudara suami, secara mendadak anak sulung saya diserang demam. Suhu
badannya sangat panas.

Saya minta suami bawa ke klinik terus tetapi suami tak nak sebab nak
cepat sampai ke rumah ibubapanya sebelum majlis bermula. Dia ugut jika
saya berdegil dia takkan bawa anak sulung ke klinik untuk dapatkan rawatan.

Hati isteri mana yang tak terguris mendengar ugutan sebegitu. Suami
sebenarnya, lebih pentingkan permintaan ibunya sendiri sedangkan anak
sulung kami sedang sakit dan perlu dirawat segera.

Pada saya, biarlah urusan rawatan anak demam disegerakan kemudian
barulah pergi ke majlis anak saudaranya itu untuk memenuhi permintaan
ibunya.

Tapi, suami bersikap langsung tak ada perasaan seolah-olah anak sulung
saya yang sakit tidak penting di matanya.

Saya ikut kata suami untuk terus ke rumah mertua kira-kira sejam lebih
perjalanan.

Saya usaha tuam badan anak dengan kain basah sambil berdoa suhu badannya
turun dan beri anak sedikit makanan namun, dimarahi suami kononnya saya
hanya mahu mengotorkan keretanya.

Saya diam dan berhenti menyuap anak sulung saya makan, nasib baiklah
anak ke-2 saya sangat baik dan langsung tak meragam.

Setibanya di kawasan perumahan mertua, suami membawa kami ke klinik
berdekatan untuk anak sulung saya mendapatkan rawatan, namun dia keluar
dari kereta masuk ke dalam klinik seorang diri tanpa membantu saya
memapah anak sulung yang sedang demam.

Suami cuma bercekak pinggang dengan muka masam sambil melihat saya
bersusah payah bersama dua orang anak dalam keadaan sarat mengandung
membawa mereka ke dalam klinik.

Keadaan itu, diperhatikan juga oleh dua orang nurse yang sedang bertugas
di kaunter hadapan klinik. Sedihnya hati saya pada waktu itu tak usah
cakaplah!

Selesai berurusan di klinik, kami terus ke rumah mertua. Sudahlah saya
sedang mengandung, diperlakukan begitu oleh suami sendiri, rasa sedih,
marah dan kecewa membuak-buak terhadap sikap suami.

Mungkin kerana saya sedang sarat mengandung, emosi saya menjadi sangat
teruk dan sukar untuk dikawal lagi.

Kelihatan cara saya agak hambar ketika tiba di rumah mertua dan muka
saya yang langsung tak senyum membuatkan keluarga mertua terus label
saya sebagai biadap dan kurang ajar.

Kerana sikap suami, saya terasa hati, marah dan kecewa dengannya, saya
menanggung akibatnya. Di benci ibu mentua katanya saya tak hormat dia
ketika sampai di rumahnya.

Di hentam teruk di media sosial oleh ipar duai. Hingga saya terpaksa
menutup kesemua media sosial yang saya ada untuk meredakan tekanan
kerana saya hampir melahirkan bayi saya. Anak-anak dan keluarga saya
adalah kekuatan saya masa tu.

Peliknya, hanya kerana cara saya yang hambar dan muka yang langsung tak
senyum hanya dalam beberapa jam setibanya di rumah mertua terus boleh
dilabel sebegitu rupa.

Benarlah kata orang, sebaik mana pun keluarga mertua, seorang menantu
perempuan tetap dianggap sebagai orang luar. Keadaan berterusan
sehinggalah saya melahirkan bayi ke-3.

Alhamdulillah, berteman suami di sisi, anak-anak dan keluarga saya
sendiri. Kalau pembaca nak tahu, tarikh bayi saya lahir ke dunia adalah
sama tarikh keluarga mertua saya bertolak ke luar negara untuk bercuti.

Saya sedikitpun tak rasa rugi, saya masih beruntung dan bersyukur
walaupun perangai suami saya adakalanya terlalu mengikut permintaan
ibunya, tetapi dia masih boleh berfikir rasional apabila perlu
bertanggungjawab terhadap keadaan isterinya.

Sebenarnya, selepas kelahiran bayi ke-3 ini pun keluarga mertua
terus-terusan dingin terhadap saya, selalu diperli dan keluarga saya
sendiri turut terkena tempiasnya.

Saya begitulah, dalam tak kisah dan berdiam diri dengan segala hentaman
adakalanya menangis juga merintih berdoa kepada Allah S.WT supaya
hubungan dengan keluarga mertua pulih seperti sediakala.

Cuma ibu dan ayah saya tempat meluah rasa, mereka sangat memahami. Tak
putus-putus memberi kata semangat dan nasihat berguna.

Sebagai seorang menantu perempuan, saya juga ada khilafnya kerana saya
cuma manusia biasa yang ada personaliti tersendiri.

Di didik dalam keluarga yang amat sederhana. Mungkin cara, didikan dan
persekitaran keluarga mertua sedikit berbeza tetapi saya tetap berusaha
membiasakan diri apabila bersama mereka.

Saya sedar yang saya tetap orang luar sampai bila-bila. Saya terima
dengan hati terbuka, biarlah begitu jika dengan cara itu membuatkan
hubungan dengan keluarga mertua pulih semula.

Tak perlu berlebihan ketika berada dalam keluarga mertua, tak perlu
berusaha keras hingga memudaratkan hati dan cuma jadi diri sendiri.

Semoga confession saya menjadi sebahagian dari 1001 cerita mengenai
kisah ibu mentua & menantu. Kasut kita semua tak sama. Lega hati saya
setelah dapat berkongsi cerita yang tak mungkin saya akan lupa sampai
bila-bila.

Sekian…

– Hanya Menantu Biasa (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Tags: , , , , ,

Category: KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *