Kisah Seram Di Hari-Hari Terakhir Semester. | Sebelum aku bermula, sedikit perkongsian tentang diri aku.  Aku seorang anak tunggal dan aku juga tidak pernah berjauhan dengan mama abah selama 17 tahun hidup.

Hari

Kerana mereka tidak mengizinkan untuk masuk ke sekolah berasrama penuh walaupun keputusan UPSR aku agak baik.

Aku dikatakan agak manja tetapi tanpa aku sendiri sangka bahawa alhamdulillah, aku seorang yang kuat mengharungi pengalaman yang bakal aku ceritakan.

MENGHABISKAN SEMESTER

Julai 2018, aku dipanggil masuk untuk menghabiskan semester interim selama sebulan kerana aku berpeluang melanjutkan pengajian ke IPTA pada peringkat diploma.

Kami sekeluarga sampai di negeri Cik Siti Wan Kembang pada jam 8 pagi pada hari pendaftaran pelajar yang mengambil masa selama 8 jam perjalanan.

Tanpa berlengah, aku ditemani mama terus ke meja pendaftaran dan menanyakan nombor bilik yang bakal aku huni.

Aku tak mahu keluarga sampai ke rumah lewat malam, jadi aku mengangkat serta mengemas barang dengan kadar segera dan pada jam 2 petang keluarga aku bertolak pulang.

Kolej Datu Anjung 3 (bukan nama sebenar), tingkat tiga bilik bernombor 311. Itu adalah bilik aku bersama dua insan yang asing.

Timah (bukan nama sebenar) berasal daripada Kedah dan Hasnah (bukan nama sebenar) berasal daripada negeri itu sendiri.

Hubungan kami bertiga baik dan kami selesa antara satu sama lain. Kami jalani semester interim dengan baik sehinggalah pada 3 malam terakhir sebelum tamatnya semester tersebut.

Setelah itu kami dibenarkan pulang ke rumah sebelum memulakan semester satu pada September 2018.

PADA MALAM KETIGA TERAKHIR

Pada malam ketiga terakhir, selesai solat berjemaah disurau, kami berpakat pergi ke ‘foodcourt’ untuk membeli makan malam.

Tidak seperti kebiasaan, kami melalui jalan belakang kerana laluan itu lebih pantas berbanding jalan hadapan. Sesampainya kami di bilik, Timah dan Hasnah terus masuk ke dalam bilik untuk tukar pakaian tetapi aku tertarik dengan bilik sebelah.

Kelihatan meriah sekali dengan lebih enam pasang selipar dan pintu bilik yang terbuka luas sehingga menampakkan kecerahan bilik tersebut.

Dalam perjalanan ke ‘foodcourt’ (kami akan melewati bilik tersebut), aku yang mengekori rakan sebilik daripada belakang mencuri pandang ke dalamnya menggunakan ekor mata kerana takut dilabel ‘busybody’ oleh gadis yang berdiri dihadapan pintu bilik itu.

Untuk pengetahuan semua, sebulan masa yang agak singkat, aku sedikit canggung untuk mencampuri urusan orang lain dan mereka agak sombong kerana setiap kali berselisih senyuman aku tidak pernah berbalas.

GADIS ITU MEMANDANG AKU

Anehnya, aku perasan gadis itu memandang aku dengan mata yang bulat serta reaksi yang agak bengis. Mungkin dia menyedari akan perbuatan aku itu.

Asyik menunggu makanan yang dibungkus, Timah dan Hasnah memberitahu berita yang tular bahawa ada kejadian histeria di tingkat bilik kami.

Setelah dikenal pasti rupa-rupanya bilik sebelah itu lah tempatnya. Keadaan menjadi hening seketika diantara kami, mungkin sahaja terkejut kerana kejadian tersebut berlaku sewaktu kami disurau.

Tepat jam 12 malam, kami bertiga bersiap untuk tidur. Namun kali ini tidur kami sedikit berbeza. Kami bertiga tidur dilantai akibat ketakutan oleh kes histeria yang berlaku tadi.

Sedang lena diulit mimpi, aku tersentak dek bunyi yang datangnya daripada arah tingkap. Disebabkan oleh terlalu mengantuk, aku kembali tidur.

Setelah menjalani hari yang agak sibuk pada keesokan siangnya, senja itu Timah bertanya “Hang takdak dengaq bunyi ka semalam?

Aku dengan Hasnah terjaga kott semalam”. Aku balas “Ada weh tapi aku ngantuk sangat so aku buat tak tahu jelah.

BUNYI SESUATU

Bunyi apa tu ek? Monyet ke?” lalu Hasnah berkata “Sero buke monyet sebab takdok baye gapo pun dekat tingkap (rasanya bukan monyet sebab tiada bayang apa-apa pun dekat tingkap)”.

“Aku rasa ada ‘benda’ nak masuk tapi tak lepas sebab al-Quran kita dekat tingkap”. Kami semuanya ibarat bisu seketika kerana tergamam dengan apa yang dikatakan Timah.

Oh ya, Timah dianugerahkan oleh Pencipta untuk merasai atau melihat apa yang manusia biasa tidak mampu merasai atau melihatnya.

Selepas Isyak, kami bertiga pergi membeli aiskrim di ’mart’ dan menikmatinya dalam bilik. Kami juga ada membelikan aiskrim untuk Jiha(bukan nama sebenar) yang merupakan rakan sekampung Timah dan juga menghuni di aras yang sama.

Setelah itu, kami pergi ke bilik Jiha untuk menghantar aiskrim tersebut(untuk ke bilik Jiha, kami akan melepasi tandas dahulu).

Tiba ditandas, aku membetulkan kain batik dan aku terdengar Timah memanggil nama Jiha didalamnya. Aku bertanya “Kau panggil Jiha kenapa? Ni tandas bukan bilik dia”.

Timah berkata “Aku nampak Jiha masuk tandas tadi”. Hasnah menyampuk “Mano ado ore dale tandas ni. Pintu bukok belako (mana ada orang dalam tandas ni. Pintu terbukak semua)”.

MUKA BERTUKAR PUCAT

Kami terus ke bilik Jiha dan ya, Jiha ada didalam biliknya. Muka Timah kelihatan pucat dan ketakutan lalu bersumpah bahawa dia nampak Jiha masuk ke dalam tandas setelah aku dan Hasnah berkata bahawa kami tidak nampak sesiapa masuk atau berada didalam tandas. Malam kedua terakhir berlalu dengan sangat misteri.

Malam terakhir iaitu hari pelajar dibenarkan pulang ke rumah, Hasnah dijemput keluarganya selepas maghrib dan Timah pula menaiki bas pada jam 9 malam.

Aku balik pada keesokan pagi kerana kehabisan tiket bas dan nasib yang kurang baik, aku demam serta keseorangan kerana kebanyakan pelajar telah pulang pada hari itu.

Aku meletakkan kain basah didahi untuk mengurangkan panas badan dan aku juga tidur tidak lena. Mama adalah insan yang paling risau kedengaran ditalian dan syurga aku itu juga ada berpesan untuk meletakkan al-Quran disisi semasa tidur.

Tanpa persoalankan kenapa dan mengapa, aku lakukan seperti apa yang dipinta. Aku memejamkan mata cuba untuk lena tiba-tiba aku terdengar bunyi derapan tapak kaki seperti ada orang berjalan dalam bilik.

Aku kuatkan diri dengan membaca ayat kursi dalam hati dan tiba-tiba terdengar bunyi desahan yang agak kasar dan kuat dicuping telinga.

Tidak cukup dengan itu, bunyi tersebut beralih kepada bunyi seperti seseorang yang sedang berbual tetapi tidak jelas apa yang diperkatakan. Tanpa sedar, aku dibuai lena yang panjang.

TIBA-TIBA TELEFON BERBUNYI

Tiba-tiba telefon berbunyi lalu aku sambut dengan longlai. Mama ditalian mengingatkan aku untuk turun awal kerana takut terlepas bas serta mama bertanya “Kenapa tak jawab mama call daripada subuh tadi?” dan aku hanya mendiamkan diri.

Suara mama agak resah mungkin kerana aku tidak menjawab panggilan telefon dari subuh hari tetapi aku tidak bertanyakan apa-apa. Rupanya hari sudah kesiangan, jam telah menunjukkan 8.30 pagi dan ya, aku terlepas solat Subuh pada pagi itu.

Aku menuju ke tandas untuk mandi dan aku tidak terserempak dengan sesiapa. Ini menandakan hanya aku yang berada di aras itu semalam.

Alhamdulillah, jam 11 pagi aku menaiki bas pulang ke rumah. Tiba dirumah, aku berkongsi kisah dengan mama dan permaisuri aku berkata “Sebenarnya mama memang tak sedap hati malam tu sampai mama tak tidur.

Mama suruh awak turun awal tu pun sebab mama risau kalau ada yang teman awak. Firasat seorang ibu sangat kuat”.

Seminggu kemudian, aku tergerak hati ingin bertanyakan sesuatu yang secara tiba-tiba bermain difikiran aku kepada Timah dan Hasnah. Aku menghantar pesanan kepada mereka melalui aplikasi whatsapp.

‘Korang, aku nak tanya sikit boleh tak? Ingat tak time histeria tu yang kita otw nak pergi beli makan. Korang perasan tak budak perempuan berdiri depan bilik tu?’

HANYA AKU YANG NAMPAK

Timah, ‘Mana ada sesiapa weh, orang semua dalam bilik je aku nampak’
Hasnah, ‘Yolo weh, takdok sore pon dekat depan pintu tu. Bakpo? Demo nampok ko? (Ye weh, takda sorang pun dekat depan pintu tu. Kenapa? Kau nampak ke?)’

Aku menceritakan serba sedikit kepada mereka siapa gadis itu dan apa yang berlaku sewaktu ketiadaan mereka. Jadi, aku tak pelik kenapa aku demam secara tiba-tiba pada malam terakhir itu, mungkin sahaja aku sudah ‘tertegur’ dan bunyi yang datangnya daripada arah tingkap itu juga mungkin ada hubungkaitnya.

Sejak kejadian tersebut, aku sering dibelenggu dengan kejadian misteri sehingga kini yang telah dua tahun menyambung pengajian.

Aku hanya biarkan dan menganggap seperti angin yang berlalu kerana orang tua berkata jika kita peduli, ia akan menghantui. ‘3 Malam Terakhir’ menjadi permulaan bagi segala kejadian misteri yang berlaku.

Sebelum terlupa, kepada insan yang terlibat dalam pengalaman ini, aku ucapkan terima kasih atas semuanya walaupun sekarang kita bertiga telah membawa haluan masing-masing dan tidak seakrab dahulu.

Terima kasih kepada anda kerana sudi membaca kisah aku yang tak seberapa ini. Semoga segala urusan anda dan aku dipermudahkan. Ingat, kita tak nampak tapi ‘dia’ ada, menjalani kehidupan sebagai mahkluk Allah sama seperti kita.

Sumber : Fiksyen Shasha

Share.

Leave A Reply