Menteri Kementerian Sumber Manusia (KSM), Tuan V. Sivakumar mengumumkan keputusan kementeriannya untuk menangguhkan pelaksanaan kuat kuasa Gaji Minimum RM1500 dari 1 Januari 2023 kepada 1 Julai 2023 kepada majikan yang memiliki jumlah pekerja kurang dari lima orang.
Perkara ini merupakan susulan daripada Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 telah berkuatkuasa mulai 1 Mei 2022, iaitu peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima (5) orang pekerja atau lebih.
Manakala, bagi semua majikan yang menggajikan kurang dari lima (5) orang pekerja pula telah diberi pengecualian dari pelaksanaan PGM 2022 dan berkuatkuasa pada 1 Januari 2023 pada asalnya.
Namun begitu, setelah mengambil kira daripada pelbagai perspektif, pihak kerajaan telah memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan kuat kuasa Gaji Minimum RM1500 yang sepatutnya bermula pada 1 Januari 2023, kepada 1 Julai 2023 untuk syarikat di bawah kategori ini.
Berdasarkan kenyataan media KSM, keputusan tersebut dibuat setelah pihak kerajaan mengambil kira persepsi pelbagai pihak berkepentingan yang diramal bakal berdepan dengan cabaran ekonomi serta kewangan menjelang tahun 2023.
Dalam pada masa yang sama, Sivakumar berharap agar penangguhan selama enam bulan ini dapat memberikan peluang kepada syarikat-syarikat yang menggajikan kurang dari lima orang pekerja untuk melakukan penyelarasan dan pengimbangan terhadap keperluan kewangan.
Perkara ini sedikit sebanyak akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat tersebut, lagi-lagi bergelut dengan kemelesetan ekonomi yang bakal melanda negara pada tahun depan.
“Penangguhan tambahan selama enam bulan ini juga diharap dapat memberikan peluang untuk menyelaras dan mengimbangi keperluan kewangan yang sedikit sebanyak akan membantu memulihkan kedudukan ekonomi syarikat-syarikat yang menggajikan kurang dari lima (5) orang pekerja.” jelas Sivakumar.
PGM masih berkuatkuasa ke atas syarikat-syarikat yang tidak menggajikan perkerja kurang dari lima orang
Selain itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) turut menegaskan bahawa majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan tanpa mengira jumlah pekerja, majikan yang menjalankan aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Clasiffication of Occupation, MASCO) masih perlu meneruskan pembayaran gaji minimum sebanyak RM1500 bermula pada 1 Mei 2022 seperti sebelum ini.
Justeru, para majikan yang tidak terlibat dengan penangguhan ini perlu mematuhi pelaksanaan PGM dengan mengenakan gaji minimum sebayak RM 1500 sebulan kepada pekerja.
Sumber: Bernama (Facebook) , Siakap Keli
Berita Berkaitan..
Ismail Sabri Dakwa Kerajaan Setuju Laksana Gaji Minimum RM1500
Kerajaan telah meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum berjumlah RM 1500 bermula Mei ini.
Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan penggulungnya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada petang Sabtu.
“Saya mendengar perbahasan yang dibawa oleh para perwakilan dan keluhan rakyat di luar sana. Justeru, hari ini saya ingin mengumumkan di dalam dewan keramat ini, kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara,” katanya dalam ucapan tersebut.
Jelasnya lagi, kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam sebelum keputusan pelaksanaan gaji minimum RM 1500 diputuskan oleh kerajaan.
Selain itu, beliau berkata kerajaan turut mengambil kira pelbagai aspek termasuklah kesannya terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Oleh itu, pelaksaan gaji mimum ini hanya melibatkan majikan sekstor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas.
Sumber: Bernama (Twitter), SK