Masjid, Surau Di Perak Diarah Dirikan Solat Hajat Jumaat Ini | Negeri Perak atau juga dikenali sebagai Perak Darul Ridzuan merupakan sebuah negeri yang penuh dengan peluang, permai dan indah.
Baru-baru ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah menitahkan semua masjid dan surau di negeri Perak mengadakan solat hajat. Dengan membaca qunut nazilah selepas solat Jumaat pada 7 Mei agar diberikan perlindungan dan keselamatan. Daripada ancaman wabak Covid-19 yang menimpa.
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, baginda begitu prihatin. Malah menzahirkan kebimbangan kepada rakyat. Atas bilangan kes pesakit Covid-19 yang semakin meningkat dengan angka yang besar.
Dalam pada itu, menurutnya, selain usaha-usaha perubatan dan kesihatan yang dilakukan. Baginda turut bertitah agar semua rakyat memohon sebaik-baik dan sebesar-besar pertolongan dari Allah SWT. Dengan melaksanakan solat hajat serta qunut nazilah tersebut agar negara kita dapat mengurangkan angka besar Covid-19 ini.
Sementara itu, Mohd Yusop berkata, baginda juga turut menzahirkan penghargaan kepada para petugas di barisan hadapan. Terutama para doktor, jururawat dan kakitangan sokongan kesihatan serta perubatan yang menghadapi tekanan di samping berdepan dengan risiko yang besar.
“Baginda menasihatkan rakyat semasa melakukan persiapan untuk menyambut hari raya, hendaklah disesuaikan dengan normal baharu. Menjauhkan diri berkunjung ke tempat yang terdapat perhimpunan yang ramai,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelasnya lagi, Sultan Nazrin turut menitahkan kepada semua pihak tanpa kompromi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.
Kes harian Covid-19 seluruh negara pada 4 Mei yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa mencatatkan 3,120 kes dengan Perak merekodkan 117 kes.
Sumber: Sinar Harian, Harian Metro