Menteri Agama Baharu. Ini Komen Mufti Pulau Pinang.

| March 9, 2020 | 0 Comments

Menteri Agama Baharu. Ini Komen Mufti Pulau Pinang. | Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor merakamkan ucapan tahniah kepada Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di atas pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Wan Salim berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan Zulkifli untuk menggalas amanah sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab dalam urusan agama Islam.

“Saya mendoakan beliau dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk melaksanakan amanah ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, beliau menyifatkan Zulkifli adalah seorang yang sangat berilmu dan berkeperibadian mulia.

“Zulkifli memang berilmu dan berperibadi mulia. Semoga jawatan baharu beliau selaku menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam, akan membuka ruang yang lebih luas bagi beliau memainkan peranan lebih berkesan dalam memartabatkan kedudukan agama Islam di negara ini.

“Diharap beliau akan meneruskan agenda Islam sebagai agama yang adil dan rahmat yang telah digagaskan sebelum ini demi faedah semua pihak,” katanya.

Tambahnya, perubahan pemerintahan negara tidak seharusnya menghalang usaha untuk meneruskan rancangan-rancangan yang baik dan bermanfaat untuk negara dan rakyat.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Zulkifli sebagai mufti pertama di negara ini dilantik menganggotai barisan jemaah Kabinet.

Agamawan kelahiran Terengganu itu akan menganggotai barisan Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sumber : Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *