Minta Kaji Semula Kebenaran Buka Bazar Ramadan | Baru-baru ini kita dikecohkan dengan satu berita yang kurang enak didengar di mana terdapat banyak bazar Ramadan dikatakan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Bercakap mengenai isu yang sama Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataannya meminta supaya pembukaan bazar Ramadan diteliti semula berikutan terdapat varian South African B.1.351 yang baru dikesan.
Seremban: Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta untuk mengkaji semula kelonggaran yang diberikan terutamanya kebenaran bazar Ramadan susulan pengesanan 17 kes positif Covid-19 membabitkan varian South African B.1.351.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, varian berkenaan didapati mempunyai varian kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi bahkan sesetengah vaksin dilihat kurang efektif ke atas varian berkenaan.
Menurutnya yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, minggu lalu gelombang ketiga sudah pun dapat dikurangkan, namun jumlah berkenaan dilihat makin meningkat dalam tempoh beberapa hari ini.
Baginya, MKN perlu berbincang kembali sama ada untuk meneruskan kelonggaran yang telah diberikan. Tambahnya, mereka tidak boleh menyalahkan orang ramai kerana orang ramai memang nak ke bazar ramadan tapi agak sukar untuk penjarakan sosial.
“Tak kira apa jua penguatkuasaan yang ada di situ, akhirnya akan berada dalam keadaan berdekatan dengan orang lain, sama ada (MKN) teruskan atau tak teruskan (bazar Ramadan), MKN perlu melihat serius isu ini,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kerajaan Negeri Sembilan di Dewan Bandaraya Seremban (MBS), di sini, tadi.
Sumber: Kosmo