Misteri Bau Busuk, Mayat Lelaki Ditemui Tergantung Di Ruang Tamu | Gejala bunuh diri dalam kalangan masyarakat Malaysia kini semakin menjadi-jadi. Hampir setiap hari ada saja kisah yang didedahkan tidak kira di media sosial mahupun arus perdana. Gejala bunuh diri yang berlaku tanpa mengira bangsa ini tidak lagi boleh dipandang remeh, malah sesuatu perlu dilakukan dengan segera bagi membendungnya daripada terus berleluasa.

Misteri Bau Busuk, Mayat Lelaki Ditemui Tergantung Di Ruang Tamu

Alor Gajah: Terbaru, misteri bau busuk dari sebuah rumah di Taman Pengkalan Indah, di sini terungkai apabila mayat seorang lelaki ditemui tergantung di kipas ruang tamu kediaman itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mayat lelaki yang berusia 45 tahun itu ditemui selepas bapa saudara mangsa yang tinggal bersebelahan, datang membuat laporan di polis mengenai bau busuk tersebut pada pukul 10.04 pagi semalam.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya telah bergegas ke lokasi untuk membuat pemeriksaan lanjut, namun mendapati pintu rumah tersebut berkunci dan telah meminta bantuan pihak bomba bagi operasi memecahkan pintu rumah berkenaan.

“Sebaik sahaja berjaya masuk, mayat mangsa ditemui tergantung di kipas di bahagian ruang tamu dalam keadaan lehernya terjerut pada kabel elektrik,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bapa saudaranya mendakwa kali terakhir dia melihat mangsa adalah pada Ahad lalu.

“Menurut bapa saudaranya, mangsa tinggal sendirian dirumah tersebut, manakala kedua-dua ibu bapanya juga telah meninggal dunia.

“Berdasarkan keadaan fizikal mangsa, kita percaya dia telah meninggal dunia lebih daripada dua hari,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

Jelasnya, motif kejadian masih sedang disiasat, namun setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply