Misteri Mayat Terbakar Pakai Fon Kepala Terungkai | Video operasi mengeluarkan mayat seorang lelaki dari daerah Makasar di Jakarta Timur tular di media sosial baru-baru ini selepas mangsa disyaki maut akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan fon kepala dan telefon bimbit yang sedang dicas.
Lapor Kompas.com, mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan hangus dan bengkak telah dipindahkan oleh pegawai bersama ketua masyarakat setempat namun video proses mengeluarkan mayat itu mengejutkan ramai pihak.
Bagaimanapun, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Makassar, Mochamad Zen mengesahkan mangsa tidak terkena renjatan elektrik seperti dilaporkan dalam video tular itu sebaliknya meninggal dunia akibat penyakit hati yang dihidapinya.
Berdasarkan hasil siasatan di tempat kejadian, perubahan warna kulit yang kelihatan hitam dan bengkak pada badan mangsa berpunca daripada salur darah yang pecah dan proses biologi mayat.
Mochamad menjelas bahawa tiada sebarang kesan terkena renjatan elektrik. Menurut keterangan saksi, mangsa terakhir dilihat pada malam Selasa lalu dan ditemukan pada Khamis lalu.
Mochamad berkata, mangsa disyaki meninggal dunia lebih enam jam sebelum mayatnya ditemui dan berlaku proses penguraian dalam tempoh tersebut.
Unit Siasatan Jenayah Polis Makassar telah menawarkan untuk melakukan bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian namun ditolak keluarga mangsa.
Katanya bahawa keluarga juga memberitahu mangsa mempunyai sejarah penyakit hati. Keluarga mangsa mengemukakan surat meminta bedah siasat tidak dijalankan dan menerima kejadian itu sebagai musibah.
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Lain
‘Power Bank’ Terbakar Dalam Pesawat, Dua Penumpang Cedera
‘Power Bank’ Terbakar Dalam Pesawat, Dua Penumpang Cedera | Dua penumpang cedera akibat pengecas mudah alih terbakar dalam pesawat Scoot ketika ia mahu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan di Taiwan menuju Singapura pada Selasa.
Kedua-dua mangsa menaiki pesawat TR993, yang sepatutnya berlepas pada 7.35 malam, Selasa dan dijadual tiba di Singapura 12.20 tengah malam keesokannya, lapor penerbitan berbahasa Cina, Lianhe Zaobao yang memetik laporan media tempatan.
Anggota bomba segera dikejarkan ke tempat kejadian selepas pihak berkuasa lapangan terbang menerima maklumat kes, jam 7.40 malam, dan pesawat itu kembali ke landasan selepas api dipadamkan.
Gambar yang tular di media sosial menunjukkan sebahagian kabin pesawat dipenuhi asap putih tebal.
Penumpang dilaporkan memilih untuk meneruskan penerbangan selepas penilaian pemeriksaan menunjukkan mereka tidak memerlukan rawatan hospital.
Menjawab pertanyaan The Straits Times, Scoot memaklumkan penerbangan itu selamat kembali ke pintu pelepasan selepas bank kuasa (power bank) boleh dicas semula milik pelanggan menjadi terlalu panas ketika pesawat masih belum berlepas.
Scoot menyatakan bahawa bantuan perubatan sudah diberikan kepada mangsa dan rakannya, yang melecur ringan di jari mereka.
Mereka menjadualkan semula penerbangan dan akan menyediakan penginapan serta makanan kepada penumpang yang terjejas.
Syarikat itu turut meminta maaf atas kejadian itu dan menegaskan bahawa keselamatan pelanggan dan kru adalah keutamaannya.
Kata kenyataan itu lagi bahawa siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan.
Sumber: Harian Metro
Penumpang Pesawat Cemas Atas Kejadian. Ini Ceritanya.
Penumpang Pesawat Cemas Atas Kejadian. Ini Ceritanya. | Lebih 120 penumpang sebuah pesawat diarah keluar serta-merta sejurus tiba di lapangan terbang di New York selepas satu pengecas telefon bimbit terbakar dan mula mengeluarkan asap, lapor portal berita MailOnline.
Pesawat JetBlue yang berlepas dari Bridgetown, Barbados tersebut ketika itu baru tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa JFK menjelang sambutan Krismas.
Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA), JetBlue dan Pihak Berkuasa Lapangan Terbang New York dan New Jersey berkata, pesawat berkenaan sedang begerak ke pintu di Terminal 5 sekitar pukul 8.50 malam (waktu tempatan) ketika pengecas telefon bimbit membebaskan asap memenuhi kabin.
Kru penerbangan JetBlue 662 dengan pantas memadamkan kebakaran kecil itu namun, tujuh penumpang dilaporkan mengalami cedera ringan. Ia termasuk sesak nafas kerana terhidu asap serta lebam pada siku kerana saling bertolakan ketika cuba keluar dari pesawat.
Pasukan tindak balas pertama dan kru pesawat memindahkan 67 penumpang dari pesawat Airbus A320 itu menggunakan sistem gelongsor kecemasan manakala 60 lagi keluar mengikut pintu biasa.
Seorang penumpang yang duduk di barisan hadapan berkata, kapten pesawat bertindak pantas sejurus asap memenuhi ruang kabin.
Penumpang berkata, kapten pesawat dengan pantas mengambil pemadam api dan bertindak dengan pantas untuk mengawal kebakaran.
Penumpang juga menyatakan beliau amat hebat dan berjaya memadamkan api.
Sementara itu, jurucakap JetBlue berkata, syarikat tersebut sedang menyiasat insiden itu berdasarkan penyelarasan pihak FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).
Sumber: Kosmo