Isu cop parkir bukanlah satu perkara asing di negara ini. Ramai penduduk kediaman jenis bertingkat sering menghadapi masalah ini, lebih-lebih apabila berhadapan dengan segelintir jiran yang mementingkan diri sendiri.
Dalam satu hantaran Facebook Penang Press, seorang penduduk flat menerima satu nota yang ditinggal pada cermin kereta yang mengarahkannya untuk mengalih kereta sebab penulis nota itu mendakwa dia meletakkan motosikal di situ kerana itu parkir miliknya.
Manakala dalam satu hantaran lain pula, kelihatan beberapa kotak parkir kosong telah diletakkan bekas isi air, tong baldi cat, dan kotak sebagai tanda parkir-parkir itu ‘bertuan’.
“Duduk flat saja tapi sikap dan perangai selera condo pulak bila masa pun letak moto ikut suka… macam2 perangai sekarang,” kata netizen yang memuat naik gambar tersebut.
Menurut netizen-netizen yang berkongsi pengalaman sendiri, rata-rata budaya cop parkir ini dilakukan oleh segelintir penghuni di lantai paling bawah sekali.
Oleh sebab rumah mereka lebih dekat dengan kawasan parkir, mereka akan berbuat apa sahaja untuk memastikan kereta mereka dapat diletakkan di situ seperti meletakkan barang atau membuat struktur tambahan supaya menjadi ‘garaj’ kereta mereka.
Ada penghuni ‘cop parkir’ bertindak lebih dahsyat dengan berbuat khianat seperti meletakkan sampah-sarap, memancitkan tayar, mencalarkan atau menconteng kereta diletakkan pada ruang parkir yang didakwa milik mereka (secara tidak sah).