Pencarian seorang lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Bor, di sini pada Sabtu berakhir apabila ditemukan pada Isnin.
Mayat mangsa, Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi, 20, dijumpai terapung oleh Unit Anjing Pengesan (K9) pada jam 10.44 pagi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani memberitahu, mangsa ditemui pada jarak 0.9 kilometer dari lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga (Isnin) melibatkan tiga anggota dan dua ekor anjing dari Unit K9, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
“Operasi turut mendapat bantuan pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM).
“Operasi bermula jam 8.30 Isnin dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, mangsa dipercayai lemas ketika mandi bersama lima rakannya di lokasi kejadian.
Sumber : SH
ARTIKEL YANG BERKAITAN
Bapa Meraung Dlm Bilik Dan Kakak Tidak Sempat Masak Makanan Permintaan Adik
“Saya tahu, abah tak kuat hadapi kenyataan ni, jadi kami adik beradik kena kuat demi abah,” itu yang diluah kakak kepada mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Pahang, di Kampung Batu Bor, di sini, pada Sabtu.
Farah Norain Mohd Fauzi, 22 memberitahu, bapanya, Mohd. Fauzi Mohamed Jidin, 52 yang tidak dapat menahan kesedihan meraung seorang diri di dalam biliknya selepas melihat tempat tidur adiknya.
Jelasnya, walaupun bapanya jarang berbual mesra dengan adiknya, namun sebagai bapa sudah pasti terasa kehilangan ini.
“Saya paling rapat dengan dia. Kali terakhir dia telefon saya Khamis minggu lepas, dan beritahu saya yang dia teringin nak makan masakan saya.
“Saya sedih bila teringat kata-kata dia. Saya tak dapat tunaikan hajat adik sebab saya dah kerja di Kuantan dan hanya masak kalau balik ke rumah,” katanya ketika ditemui KOSMO!.
Farah Norain berkata, antara makanan kegemaran adiknya itu ialah ayam masak kari dan goreng pedas.
Difahamkan, Faizal Akmal Fikri yang bekerja di kedai membasuh kereta merupakan anak bongsu kepada tujuh beradik yang tinggal bersama bapanya di Kampung Bukit Lada Awah, Temerloh.
Sementara itu, Mohd. Fauzi berkata, anaknya seorang yang periang itu tidak pernah memberi masalah kepada keluarga, malah tidak berat tulang untuk membantu sesiapa yang bermasalah.
“Saya memang tak tahu dia nak mandi di sini. Sebab kami bercakap perkara-perkara penting sahaja.
“Cuma, saya berharap sangat anak saya dapat dijumpai secepat mungkin. Itu sahaja harapan saya sebagai seorang bapa,” katanya.
Mohd. Fauzi yang juga berniaga kedai runcit memberitahu pernah meletakkan harapan kepada anaknya itu untuk menyertai pasukan penyelamat seperti tentera, polis dan bomba, namun Faizal Akmal Fikri tidak berminat untuk menyertainya.
Dalam perkembangan lain, Ketua Zon Dua Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Mohd Sobree Mohamed Salleh berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disambung bemula pukul 8 pagi dalam radius 10 kilometer (km) dari lokasi mangsa hilang.
Katanya, seramai 54 anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM) terlibat dalam operasi SAR.
“Kita melakukan operasi sehingga ke kawasan Jambatan Chenor iaitu dalam radius 10 kilometer dari lokasi mangsa hilang.
“Keadaan air sungai surut tapi deras. Namun operasi SAR masih diteruskan dengan bantuan sukarelawan dan penduduk kampung berdekatan,” ujarnya.
Sumber : KMN