Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibawa ke hospital bagi menjalani rawatan kerana mengalami ulser dalam perut.

Menurut sumber, prosedur rawatan itu dilakukan di Hospital Kuala Lumpur sama seperti banduan lain yang tertakluk di bawah Akta Penjara 2000.

Kata sumber itu lagi, rawatan yang diberikan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu adalah mengikut saranan untuk pemantauan pakar.

“Beliau ditahan di hospital, beliau masih berada di bawah kawalan pihak penjara.

“Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara, Jabatan Penjara bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, ditanya sehingga bila Najib ditahan di wad, katanya ia bergantung kepada syor yang dibuat oleh pegawai perubatan.

Terdahulu September lalu, anak Najib, Nooryana Najwa menerusi hantaran di Instagramnya memaklumkan bapanya menerima rawatan di HKL selepas mengalami sakit perut.

Sumber : Kosmo

ARTIKEL LAIN UNTUK DIBACA

Pihak Penjara Tidak Benarkan Najib Razak Bercakap Tentang PRU-15.

Jabatan Penjara tidak membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim berkata, peraturan itu terpakai kepada semua individu yang sedang menjalani hukuman penjara termasuk Najib.

“Kenyataan tidak boleh dikeluarkan oleh mana-mana banduan. (Najib) tidak dibenarkan mengeluarkan apa-apa kenyataan malah surat yang dikeluarkan, dokumen yang dikeluarkan pun ditapis terlebih dahulu.

“Nak hantar surat kepada keluarga, nak uruskan apa pun perlu ditapis oleh pihak penjara (Jabatan Penjara Malaysia) dahulu,” katanya pada Majlis Perasmian Pameran Menjangkau Abad Dinding Penjara di Muzium Penjara Banda Hilir di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada penyandang Ahli Parlimen Pekan itu dibenarkan atau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai PRU15 yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Kita (Jabatan Penjara) tiada kena mengenai dengan politik dan hanya laksanakan tanggungjawab waima apa sekalipun kerajaan yang memerintah,” katanya ringkas.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta.

Share.

Leave A Reply